Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram yang meninggal dunia, hari ini.

Anwar berharap keluarga mendiang Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga peguam itu bertabah.

“Takziah kepada keluarga mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram atas pemergian mendiang.

“Semoga urusan keluarga dipermudah dan keluarga kuat serta cekal berdepan khabar duka ini,” ciap Anwar di Twitter rasminya, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan mendiang Sri Ram, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, pada jam 12.15 tengah hari tadi.

Berita kematian bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Sebelum ini, Sri Ram, 79, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di sini, minggu lepas kerana jangkitan paru-paru.

Mendiang merupakan pendakwa raya utama dalam kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga merupakan pendakwa raya utama bagi perbicaraan rasuah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek hibrid solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette