Hajiji Noor

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan mengetuai kepimpinan sebuah parti tempatan baharu yang dinamakan Parti Gagasan Rakyat Sabah atau nama singkatannya Gagasan Rakyat.

Parti berkenaan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat ini.

Pelancaran parti itu bagi meneruskan perjuangan sebagai sebuah parti tempatan yang bernaung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS menjelaskan, gabungan berkenaan menerima keahlian Gagasan Rakyat pada 9 Disember 2022 seterusnya mengekalkan keahlian sebanyak lima parti di bawahnya.

”Ini adalah parti sedia ada dan kita ambil alih saja. GRS telah menerima keahlian parti ini pada 9 Disember lalu,” katanya yang dipetik Sabah Baru News.

Hajiji berkata, pihaknya akan menggerakkan perjuangan melalui Gagasan Rakyat selepas diterima masuk dalam GRS.

Dengan adanya Parti Gagasan Rakyat, beliau yakin tidak lagi timbul bermacam-macam isu terutama yang mempertikaikan kedudukannya sebagai Ketua Menteri.

”Yang penting saya dapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah,” katanya.

Selain Gagasan Rakyat, empat parti lain yang bernaung di bawah GRS adalah Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Pada 10 Disember 2022, Hajiji bersama barisan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar dari parti berkenaan. – MalaysiaGazette