Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang dijadualkan mengadakan majlis ramah mesra di Institut Pengurusan Peladang Tanjung Karang, jam 3 petang ini bagaimanapun dibatalkan pada saat akhir.

Setiausaha Akhbarnya, Mad Jeli  mengesahkan perkara itu tanpa memberitahu punca dan sebab majlis itu terpaksa ditangguhkan pada hari ini.

“Saya memohon kemaafan. Program Ramah Mesra bersama Tan Sri Noh Omar pada petang ini, 29.01.2023 ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Kemaafan sekali lagi saya pohonkan,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penggantungan enam tahun keahlian bekas Pengerusi UMNO Selangor itu yang kemudiannya dipecat atas kehendak beliau sendiri.

Turut dipecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beberapa pimpinan lain pula digantung keahlian selama enam tahun termasuk Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Turut dikenakan tindakan sama ialah bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

MalaysiaGazette tidak menolak kemungkinan majlis bersama rakyat Parlimen Tanjong Karang itu dibatalkan pada saat akhir kerana Noh mahu membuat satu pengumuman penting di Shah Alam, esok.

“Sedang diaturkan (sidang media) mungkin di Shah Alam, esok,” katanya pegawainya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast