Azizulhasni Awang

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan bagi membawa doktor pengiring khas memantau tahap kesihatan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam kejohanan disertai tahun ini.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata sebaliknya, pegawai perubatan dari Institut Sukan Negara sudah mencukupi untuk memantau rapi Azizulhasni yang dijadual mengharungi jadual padat dalam misinya memburu tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya rasa Azizulhasni akan ambil bahagian sekiranya doktor memberi lampu hijau kepadanya untuk beraksi. Jika tidak beliau tidak akan menyertai 125th Austral Wheelrace di Melbourne, Australia, Disember lepas.

“Jadi saya rasa dia dah dapat lampu hijau daripada doktor yang merawatnya untuk kembali kepada aksi berprestasi tinggi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pemenang pingat perak acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu bakal menempuh jadual padat dengan menyertai tiga siri kejohanan Nations Cup atau Piala Negara-Negara iaitu di Jakarta, Indonesia pada 23-26 Feb ini diikuti Kaherah, Mesir (14-17 Mac) dan Milton, Kanada (20-23 April) yang menawarkan mata kelayakan Olimpik.

‘The Pocket Rocketman’ sebelum ini menjalani pembedahan pada April tahun lepas susulan masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur daripada aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA). – BERNAMA