Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Monorel Kuala Lumpur akan dipanjangkan pada waktu puncak bermula esok.

Pemanjangan operasi waktu puncak itu bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna supaya dapat merancang perjalanan lebuh awal bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen di rel khususnya di stesen pertukaran LRT Masjid Jamek dan Hang Tuah.

Waktu puncak pagi akan dipanjangkan dari jam 6.30 hingga 10.30 pagi berbanding jadual asal iaitu 7 hingga 9.30 pagi.

”Manakala, bagi waktu puncak petang pula akan dipanjangkan dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding jadual asal iaitu 5 petang hingga 7.30 malam,” kata Rapid Rail Sdn Bhd. dalam satu kenyataan hari ini.

Perubahan ini dibuat susulan gangguan perkhidmatan antara dua stesen iaitu LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Susulan itu, Rapid Rail terpaksa menutup laluan di antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya sehingga keselamatan dan kekukuhan dapat dipastikan.

Operasi LRT Ampang dijalankan dengan kelajuan yang berkurangan dan akan menyebabkan kelewatan sebanyak sembilan minit di dalam daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar daerah perniagaan.

“Tren daripada Putra Heights akan berpatah balik di Plaza Rakyat manakala tren daripada Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Bandaraya serta perkhidmatan ‘shuttle’ atau ulang-alik di antara Stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Rapid Rail menambah, bilangan bas perantara percuma akan ditambah bermula esok, dengan kekerapan 10 minit, bergantung kepada keadaan lalu lintas.

Bagi melancarkan perjalanan dan pergerakan penumpang, Rapid KL akan menambah bilangan kakitangan sokongan berjumlah hampir 100 orang bagi mengawal dan membantu penumpang yang memerlukan bantuan di stesen rel.

“Inisiatif ini adalah komitmen Rapid KL dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna adalah sentiasa dalam tahap terbaik.

”Prasarana memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan amat menghargai sokongan dan kesabaran anda. Keselamatan penumpang menjadi keutamaan pihak kami,” katanya. – MalaysiaGazette