KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang, meningkat 3.5 peratus pada Disember 2022 berbanding 3.2 peratus pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semua sektor menunjukkan peningkatan kecuali sektor pertanian, perhutanan dan perikanan yang susut 17.5 peratus (November 2022: -18.5 peratus).
“Penguncupan dalam indeks penanaman tanaman kekal (-27.3 peratus) yang telah mencatat penyusutan dua digit selama enam bulan berturut-turut, telah menyumbang kepada penurunan indeks ini,” katanya dalam kenyataan media sempena laporan Indeks Harga Pengeluar Pengeluaran Tempatan Disember 2022 yang dikeluarkan hari ini.
Bagaimanapun, sektor pembuatan meningkat 6.1 peratus (November 2022: 6.2 peratus) susulan kenaikan 14.2 peratus dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis serta diikuti oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (9.3 peratus) selain pembuatan kimia dan produk kimia (3.1 peratus).
“Sektor perlombongan juga mencatat peningkatan 3.7 peratus (November 2022: 2.4 peratus. Sektor bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing merekodkan kenaikan 3.8 peratus dan 1.0 peratus,” katanya.
Menurutnya, bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan turun 0.3 peratus pada Disember 2022 berbanding 0.6 peratus pada bulan sebelumnya yang disebabkan oleh penurunan indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang mencatat -1.7 peratus pada Disember 2022 (November 2022: 5.5 peratus), dipengaruhi oleh penurunan dalam indeks perikanan (-5.6 peratus) dan penanaman tanaman kekal (-2.2 peratus).
Mengulas mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya terus mencatat penurunan -7.7 peratus pada Disember 2022 (November 2022: -8.5 peratus) akibat penyusutan -9.4 peratus dalam indeks bahan bukan makanan.
“Bagaimanapun, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 7.2 peratus pada Disember 2022 (November 2022: 7.7 peratus) didorong oleh kenaikan dalam indeks bahan api diproses dan pelincir (15.3 peratus), bekalan (12.4 peratus) serta bahan dan komponen untuk pembuatan (2.8 peratus),” katanya.
Mohd Uzir berkata, pada suku keempat 2022, IHPR pengeluaran tempatan merekodkan kenaikan 3.5 peratus (suku ketiga 2022: 6.5 peratus) disebabkan oleh indeks pembuatan (6.6 peratus), bekalan air (4.3 peratus), perlombongan (1.8 peratus) dan bekalan elektrik dan gas (1.2 peratus) manakala indeks pertanian, perhutanan dan perikanan turun 18.1 peratus.
Pada 2022 menyaksikan IHPR pengeluaran tempatan meningkat 7.8 peratus, lebih rendah berbanding 9.5 peratus pada 2021.
Bagi separuh pertama 2022, IHPR pengeluaran tempatan meningkat pada kadar lebih laju disokong oleh kenaikan harga komoditi utama Malaysia iaitu minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah yang antaranya disebabkan oleh tekanan geopolitik antara Rusia dan Ukraine, katanya.
Selain itu, beliau berkata, isu peningkatan kos bahan makanan ternakan dan baja turut menyumbang kepada kenaikan IHPR pengeluaran tempatan yang mula menyederhana pada Jun 2022, disokong oleh penurunan harga MSM sehingga mencecah paras RM3,000 pada separuh kedua 2022.
“Penurunan ini antaranya disebabkan oleh penurunan permintaan global akibat pembukaan eksport minyak sawit Indonesia dan peningkatan permintaan minyak sayuran lain,” katanya.
Namun, Mohd Uzir berkata harga makanan siap pengguna menunjukkan trend peningkatan lebih tinggi berbanding 2021 akibat kenaikan kos bahan mentah walaupun mula menyederhana pada November 2022. – BERNAMA