MUDA PH Kit Siang COVID-19 Muhyiddin golden son kadazan
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang mengingatkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan segala cadangan mereka dalam masa enam hingga 12 tahun pertama pentadbirannya.

Beliau bersetuju dengan pandangan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam bahawa masanya sudah tiba untuk Kerajaan Perpaduan bertindak dan bukan sekadar bercakap sahaja.

Menurut Kit Siang, Kerajaan Perpaduan perlu mempunyai pemikiran yang penggal mereka mungkin berakhir pada bila-bila masa walaupun mereka berhasrat untuk berkhidmat sehingga penggal lima tahun berakhir.

“Tambahan lagi, inilah pengajaran yang perlu dihayati oleh Kerajaan Perpaduan Anwar dari Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya bertahan selama 22 bulan sebelum ini sebelum ditumbangkan melalui konspirasi politik Langkah Sheraton dan disusuli oleh dua kerajaan ‘pintu belakang’ selama 31 bulan.

“Kebanyakan menteri-menteri PH ketika itu tidak menjangkakan yang kerajaan akan ditumbangkan sebelum setengah penggal dan mereka memikirkan yang mereka ada penggal yang penuh untuk memenuhi janji-janji pilihan raya mereka,” katanya ketika berucap di majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Nibong Tebal, malam tadi.

Teks ucapan tersebut disiarkan dalam laman blog miliknya, hari ini.

Musa ketika menjadi ahli panel forum bertajuk Resetting The Malaysian Economy anjuran Parlimen Malaysia Jumaat lalu meragui keyakinan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa Kerajaan Perpaduan cukup stabil untuk menjamin pemulihan ekonomi dalam masa dua hingga tiga tahun.

Sebelum itu, ketika membicarakan cabaran yang dihadapi kementeriannya untuk memulihkan ekonomi, Rafizi yang juga ahli panel forum tersebut berkata, Kerajaan Perpaduan merupakan ‘yang paling stabil setakat ini’ dan mampu melakukan perubahan.

Kit Siang menambah, ujian besar untuk Kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat adalah enam pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

“Saya sentiasa berasa ragu-ragu dengan perbualan mengenai ‘gelombang hijau’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebelum ini, tetapi perkembangan politik baru-baru ini kelihatan seperti telah memberikan tenaga kepada Perikatan Nasional (PN),” jelasnya.

Beliau juga berpandangan, Kerajaan Perpaduan perlu memberikan pertimbangan yang serius terhadap pelbagai cabaran yang berpotensi memendekkan penggalnya sebelum mencapai tempoh lima tahun. – MalaysiaGazette