KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia akan terus mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan palsu individu yang mendakwa “waris” Sultan Sulu (Penuntut) di Mahkamah Luxembourg.
Malah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, kerajaan tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan negara pada setiap masa.
Katanya, walaupun mahkamah itu telah mengeluarkan keputusan untuk melepaskan penahanan yang telah dipohon penuntut pada 24 Januari lalu, tetapi Malaysia tetap mengambil tindakan untuk mencabar Perintah Exequatur yang dikeluarkan secara ex-parte tersebut di Mahkamah Rayuan Luxembourg.
“Penahanan tersebut telah dipohon Penuntut berasaskan “Final Award” dan “Preliminary Award” yang dikeluarkan oleh penimbang tara, Dr. Stampa, masing-masing pada 28 Februari 2022 dan 25 Mei 2020.
“Ini termasuklah berasaskan Perintah Exequatur yang dikeluarkan secara ex-parte pada 18 Mei 2022 yang mengiktiraf award timbang tara yang dikatakan itu di Luxembourg,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Khamis lalu, Mahkamah Luxembourg yang bersidang membuat keputusan memihak kepada kerajaan Malaysia atas dakwaan seorang individu yang mendakwa sebagai ‘waris’ kepada Sultan Sulu.
Mahkamah berkenaan juga telah mengetepikan perintah penahanan yang telah dipohon oleh individu berkenaan yang bertindak sebagai Penuntut di Luxembourg pada 11 Januari 2022.
Perintah penahanan yang telah diketepikan itu telah dipohon berasaskan dua award timbang tara yang dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah, Dr. Stampa yang dikatakan telah memberikan award kepada Penuntut sebanyak AS$14.92 bilion.
Serentak itu, menurut Azalina, Kerajaan Malaysia telah dengan serta-merta membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan relif interim supaya penahanan tersebut dilepaskan.
Kata beliau, pendengaran bagi permohonan tersebut telah berlangsung pada 5 Disember 2022 di Mahkamah Luxembourg.
“Mahkamah Luxembourg telah menerima hujahan Malaysia bahawa penuntut telah, menurut mahkamah, dengan sengaja tidak mendedahkan alamat sebenarnya.
“Mahkamah telah mendapati tindakan penuntut untuk tidak mendedahkan alamat sebenar mereka adalah sesuatu yang penting yang telah menghalang penyampaian dokumen dan penguatkuasaan keputusan yang mungkin dikeluarkan terhadapnya.
“Menurut mahkamah, tindakan penuntut tersebut adalah suatu “kesusahan yang jelas” yang menjejaskan Malaysia,” katanya.
Kata Azalina, dengan kata lain, penuntut telah secara konsisten menggunakan tipu daya dalam tuntutan mereka terhadap Malaysia.
Oleh itu, ujarnya, adalah tidak mengejutkan permohonan penuntut telah gagal di peringkat awal. – MalaysiaGazette