Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar

SHAH ALAM – Bekas Pengerusi Badan Perhubuhgan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat selepas dipecat daripada UMNO baru-baru ini.

Sebaliknya beliau memberi bayangan untuk menjadi penceramah bebas sekiranya beliau diundang oleh mana-mana pihak untuk berbuat demikian sementara menunggu habis edah (iddah).

“Saya ini masih dalam tempoh edah, kena rehatlah dulu, kita tengok saya tak tahu lagi (berapa lama tempoh). Belum ada apa-apa keputusan, saya nak tengok sama ada saya nak jadi penceramah bebas, mungkin boleh juga.

“Sesiapa nak jemput saya, PKR jemput pun saya boleh datang, Amanah nak jemput, kalau sesuai saya datanglah, kalau sudi jemput saya jadi penceramah bebas buat masa ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penggantungan enam tahun keahlian bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu yang kemudiannya dipecat atas kehendak beliau sendiri.

Selain Noh, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga dipecat daripada parti.

Manakala beberapa pimpinan UMNO lain pula digantung keahlian UMNO sehingga enam tahun.

Antaranya Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Dalam pada itu, Noh mengakui beliau tiada lagi cita-cita politik selepas hampir 26 tahun bersama UMNO meskipun ditawarkan menyertai parti lain

“Kita pun tak ada cita-cita pun, bagi saya yang penting mana parti yang betul-betul boleh menjadi tempat rakyat berteduh, lebih-lebih lagi yang memperjuangkan hak-hak Melayu ini,” katanya.

Ditanya tentang gesaan pihak tertentu supaya beliau terus setia dengan UMNO, Noh bagaimanapun menegaskan beliau tidak berparti buat masa ini.

“Kenapa nak setia kepada parti (UMNO)? Saya mana ada parti. Ibarat orang sudah kahwin, kita sudah kena cerai, nak setia dengan suami macam mana lagi.

“Kenapa kita pula kena setia dengan parti (UMNO),” katanya lagi. – MalaysiaGazette