Tindakan merbahaya seorang lelaki yang memandu kereta melawan arus di MRR2 tular di media sosial hari ini.

GOMBAK – Nampaknya perbuatan memandu kereta melawan arus masih berlaku sampai sekarang.

Terbaharu, tindakan merbahaya seorang lelaki dikesan memandu keretanya secara melawan arus di Kilometer 11.9 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) tular di media sosial.

Rakaman klip video yang menjadi topik hangat sehingga ada yang mendesak tindakan segera polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian itu dikesan menerusi rakaman video berdurasi 25 saat di media sosial hari ini.

“Siasatan awal polis sehingga mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung insiden tersebut.

“Bagaimanapun polis merayu kerjasama saksi atau mana-mana orang awam melihat atau mempunyai maklumat agar tampil menyalurkan maklumat memudahkan pengesanan suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh juga disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Norazlan Noorudin di talian 03-61262222.

Sejak pagi tadi, pengamatan pada video tular itu mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna kelabu dipandu secara melawan arus pada waktu malam.- MalaysiaGazette