Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Aminurrahim Mohamed (tengah) diiringi Timbalan Ketua Persuruhjaya Pengerusan (APM), Dato Ismail Mohd Zawawi (dua kanan) dan Presiden Sar Dogs Malaysia, Dato Dr. Mohd Nordin Mohd Nor (dua kiri) bergambar bersama selepas Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NOU) APM dan Anugerah Penghargaan Daripada Perstuan Haiwan Terbiar Malaysia di Ikhwan Valley, Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto MUHD NA’IM 31 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalin kerjasama bersama Pertubuhan Anjing Pengesan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SAR Dogs) bagi membolehkan kedua-dua organisasi itu menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan anjing pengesan dengan lebih berkesan.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, kerjasama itu akan memberikan impak positif dan ia telah terbukti melalui komitmen yang diberikan semasa kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada Disember 2022.

Tambah beliau, ia akan memberikan satu jalur baru dalam perancangan pengoperasian di masa akan datang.

“Kerjasama ini akan sentiasa diteruskan dan diletakkan secara terus di bawah Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) dan Bahagian Pengurusan Latihan dari segi perkongsian strategi pengoperasian dan latihan bersama.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tuan Aminurrahim Mohamed bercakap pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NOU) APM dan Anugerah Penghargaan Daripada Perstuan Haiwan Terbiar Malaysia di Ikhwan Valley, Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto MUHD NA’IM 31 JANUARI 2023.

“Perkara itu agar bahasa pengoperasian adalah seiya dan senada sekaligus menaikkan imej APM dalam mengendali dan memberikan tindak balas kepada insiden bencana dengan efisien seterusnya menjadi rujukan kepada semua badan bukan kerajaan dalam menyumbangkan bakti dan tenaga kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama SAR Dogs di GISB Valley, di sini, hari ini.

Kerjasama antara APM dan SAR Dogs ini telah dijalin sejak 2019 namun ia dilakukan secara tidak rasmi.

Menurut Aminurrahim, ketika ini APM tidak mempunyai haiwan yang ditugaskan untuk usaha SAR namun dengan penglibatan SAR Dogs dapat meningkatkan operasi menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, Presiden Sar Dogs, Datuk Dr. Mohd Nordin Mohd Nor berkata, SAR Dogs telah terlibat dalam tiga operasi besar bersama APM yang melibatkan anjing pengesan sejak 2019.

Tambah beliau, terdapat sembilan ekor anjing K9 dalam latihan dan beberapa anjing yang telah lulus di peringkat antarabangsa.

“Setiap anjing mempunyai kelebihan tertentu dan berbeza dengan anjing-anjing lain. Apabila dilatih barulah mereka akan membangun kebolehan tersendiri,” katanya.

Tambah beliau, setiap seekor anjing hanya ada seorang sahaja pengendali supaya boleh mengikut arahan yang diberikan.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Aminurrahim Mohamed (kanan) bergambar bersama selepas penganugerahan kepada Anjing Pengesan (K9) semasa Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NOU) APM dan Anugerah Penghargaan Daripada Perstuan Haiwan Terbiar Malaysia di Ikhwan Valley, Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto MUHD NA’IM 31 JANUARI 2023.

“Anjing di bawah SAR Dogs dilatih dan dilepas tetapi kena berpatah balik kepada pengendali sendiri.

“Mereka (anjing) akan memberi isyarat kepada tuannya sekiranya terjumpa apa-apa di lokasi SAR.

“Oleh sebab itu, orang lain tidak boleh mengendalikan anjing-anjing tersebut melainkan pengendalinya sahaja,” jelasnya.

Terdahulu, seekor anjing K9 bernama Tar telah dianugerahkan medal dan sijil oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia kerana sumbang jasa yang diberikan semasa tragedi tanah runtuh Batang Kali Disember tahun lalu.