Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mendengar laungan ‘DAULAT TUANKU’ yang dipersembahkan Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini (kiri) pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 30 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Hari ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut ulang tahun keempat baginda memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Baginda melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 dalam satu istiadat penuh gilang gemilang di Istana Negara pada 31 Januari 2019.

“Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat dan inayah-Nya, Seri Paduka Baginda pada hari ini genap empat tahun bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan sebagai Ketua Negara.

“Setinggi-tinggi kesyukuran juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana rakyat dan negara sentiasa dirahmati nikmat keamanan dan keharmonian meskipun sepanjang tempoh empat tahun ini, negara dan rakyat telah menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

“Marilah bersama-sama mendoakan agar Allah SWT terus menganugerahkan Seri Paduka Baginda keafiatan, kebijaksanaan dan keberkatan bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan,” menurut Istana Negara menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Istana Negara berharap, semoga Malaysia di bawah naungan dan pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara sentiasa dilindungi dan diberkati Allah SWT. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast