Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kiri) bergambar kenangan dengan penerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang (dua kiri) dan Datuk Pandelela Rinong Pamg (dua kanan) pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria diminta untuk mencapai sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kontinjen Malaysia perlu berusaha lebih untuk mencapai sasaran itu dalam kejohanan sukan itu pada tahun depan.

“Pengerusi MOM mesti cuba capai sekurang-kurangya satu pingat emas dalam Sukan Olimpik, jika tidak saya sudah bagi tadi amaran, kita usaha sebaik mungkin dan tawakal.

“Kita mesti cuba sedaya upaya, tidak ada tolak ansur tapi kita kena terima kenyataan dalam apa-apa persaingan terima keputusan yang adil dan bijaksana,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli.

Terdahulu Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Olahragawan Negara 2021 kepada Datuk Azizul Hasni Awang.

Turut dinobatkan Datuk Pandelela Renong sebagai Olahragawati Negara 2021.

Ketika ditanya pemberita tentang acara yang disasarkan berpotensi menyumbang pingat emas kepada Malaysia, Anwar bagaimanapun enggan mendedahkannya.

Sebaliknya, bukan sahaja satu bahkan lapan acara dilihat berpotensi dirangkul kontinjen negara dalam Sukan Olimpik 2024.

“Itu baru saya bincang dengan Presiden MOM, dia kata dia tak boleh sebut satu dua sebab nanti kecil hati yang lain.

“Ada tujuh hingga lapan acara, dia tekan kelapan-lapan (menang emas),” katanya lagi. – MalaysiaGazette