Tertuduh, Yaumiheris Nordin, 42, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah memukul dengan kayu bapanya berusia 71 tahun minggu lalu.

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memukul dengan kayu bapanya berusia 71 tahun minggu lalu.

Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Yaumiheris Nordin, 42, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap bapa kandungnya, Nordin Dengker, 71, dengan memukul pada bahagian muka dan badan mangsa menggunakan sebatang kayu.

Perbuatan itu dilakukan sekitar pukul 7 malam di sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Kampung Bukit Darat dalam daerah Melaka Tengah pada 26 Januari lalu.

Sabit kesalahan Seksyen 324 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan dijatuhkan dari tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman berat mengambil kira kesalahan serius dilakukan dan mangsa adalah bapa kandungnya sendiri.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Mohd. Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan.

Sementara itu dalam prosiding berasingan, tertuduh juga mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman atas pertuduhan mengugut bapanya dengan mengacukan parang.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu, dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh ditangkap. – MalaysiaGazette.