DAP Islamofobia fobia agama mahathir DEB berkepentingan awam Kit Siang Kelantan
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa perkara yang berkepentingan awam dengan ratusan cadangan yang berkaitan dengan perkara hal ehwal pentadbiran, integriti dan rasuah perlu dirahsiakan oleh kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan membentangkan laporan-laporan dari Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC), dan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) sebagai kertas putih pada sidang Parlimen yang akan bermula dua minggu lagi.

Kit Siang menambah, cadangan yang sama pernah dikemukakan pada 2019 untuk membolehkan Ahli-ahli Parlimen dan orang awam mempertimbangkan merit dan kelemahan laporan-laporan tersebut.

“Jawatankuasa-jawatankuasa ini dibentuk pada tahun 2018 semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, untuk mendapatkan pandangan pelbagai pertubuhan sivil untuk mengukuhkan lagi sistem pentadbiran dan kedaulatan undang-undang dalam negara.

“Setahu saya, laporan dari CEP, IRC, dan ERC ini tidak pernah dibentangkan dalam Kabinet kerajaan PH walaupun laporan-laporan ini disiapkan dan dihantar kepada Perdana Menteri sebelum kerajaan PH ditumbangkan melalui konspirasi politik Langkah Sheraton pada Februari 2020,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan membentangkan rang undang-undang untuk mengehadkan penggal perkhidmatan dan kuasa Perdana Menteri, memisahkan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen untuk menjamin martabat dan kebebasan Parlimen.

Selain itu, Kit Siang mencadangkan agar kerajaan menegakkan doktrin pemisahan kuasa dan perkenalkan rang undang-undang untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk memastikan pelantikan hakim, termasuklah ketua hakim dan pelantikan-pelantikan utama kehakiman, bebas dari pengaruh Perdana Menteri dan mencerminkan kepelbagaian, bersifat inklusif, serta mencerminkan demografi negara dalam setiap aspek.

“Cadangan keempat, meningkatkan hari Parlimen bersidang dari 71 hari pada 2023 kepada minimum 100 hari setahun supaya semua keperluan reformasi legislatif dapat dijalankan dan supaya adanya sistem jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang aktif untuk menjadi semak imbang yang berkesan kepada pihak eksekutif.

“Cadangan kelima, meluluskan Rancangan Integriti Malaysia yang bakal menjadi panduan untuk Malaysia menjadi salah satu dari negara terbaik di dunia dari segi integriti awam dan bukannya ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dalam usaha membanteras rasuah,” jelasnya. – MalaysiaGazette