Datuk Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15,999 kes kemalangan dilaporkan sepanjang Op Selamat 19 diadakan sempena Tahun Baru China yang tamat pada 27 Januari lalu berbanding 11,325 kes pada operasi sama tahun lalu, meningkat 41 peratus.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, sebanyak 121 kemalangan maut direkodkan berbanding 108 kes untuk tempoh sama, naik 12 peratus.

“Dalam Op Selamat 19 kali ini sebanyak 134 kes kematian telah dicatatkan iaitu pertambahan sebanyak 15 kes berbanding 119 kes kematian yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.

“Kali ini penunggang dan pembonceng motosikal masih kekal sebagai golongan penyumbang angka korban yang tertinggi iaitu sebanyak 81 kes kematian daripada jumlah keseluruhan kematian sepanjang pelaksanaan Op Selamat 19 tersebut tetapi jumlah ini menurun sebanyak dua kematian berbanding Op Selamat sebelum ini iaitu sebanyak 83 kematian sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penutupan Op Selamat 19 Sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, di sini, hari ini.

Menurut Razarudin, sepanjang tempoh pelaksanaan Op Selamat 19, sebanyak 160,375 saman dikeluarkan berbanding 308,726 saman dikeluarkan sebelum ini.

Tambah beliau, penurunan pengeluaran saman itu membuktikan pengguna jalan raya mula membudayakan pematuhan peraturan jalan raya.

Sementara itu, beliau memberitahu, indeks kes pecah rumah berkurangan kepada 296 kes berbanding 326 kes, turun sebanyak 9.6 peratus.

Ujar beliau, sebanyak 68,519 rondaan telah dijalankan ke atas rumah dan premis yang ditinggalkan penghuninya sepanjang sambutan Tahun Baru Cina antara 17 hingga 27 Januari lalu.

“Antara elemen PDRM yang terlibat dalam rondaan kali ini adalah sebanyak 29,601 rondaan MPV, 13,387 Unit Rondaan bermotosikal dan 19,367 rondaan melibatkan elemen balai dan 6,164 lain-lain rondaan.

“Ini membuktikan wujudnya tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan ahli masyarakat setempat betapa pentingnya menjaga keselamatan harta benda merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada penurunan kes jenayah pecah rumah pada musim perayaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette