Seorang pemilik syarikat pembekalan tenaga kerja, S. Anbhukanesan dituduh di Mahkamah Sesyen bagi sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial berjumlah lebih RM246,400, dua tahun lalu di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik syarikat membekalkan tenaga kerja didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini bagi sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah lebih RM246,400 dua tahun lalu.

Tertuduh, S. Anbhukanesan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah menyerahkan dokumen Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 PERKESO dengan niat hendak memperdayakan PERKESO yang mengandungi pernyataan palsu melibatkan 48 pekerja sedangkan bukan pekerja syarikat itu.

Tuntutan itu dibuat menerusi tiga syarikat miliknya iaitu Sapphire Management, Mega Brother Management dan Bluee Sapphire Sdn. Bhd. melibatkan tuntutan keseluruhan berjumlah RM246,400.

Tertuduh didakwa sedar kesemua penama dalam permohonan insentif pengambilan pekerja bukan pekerja di syarikat miliknya dengan niat untuk mengelirukan pihak PERKESO.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO, Johor Bahru antara 13 Mei hingga 24 Disember 2021.

Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew manakala tertuduh diwakili peguam, Amarpreet Singh Rajwinder Singh.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) Johor Bahru pada awal bulan setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Amarpreet Singh dalam rayuannya memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jaminan rendah iaitu RM20,000.

Jelasnya, anak guamnya menanggung isteri serta dua orang anak yang berusia setahun dan dua tahun selain menanggung ibu bapanya yang masing-masing menghidap penyakit jantung dan angin ahmar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor sekali setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Februari ini bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette