Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hadir pada Mesyuarat Pemimpin Tertinggi Perikatan Nasional di Publika, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) masih belum memulakan sebarang perbincangan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri secara serentak.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditanya sama ada PN dan PH sudah mencapai persetujuan untuk membubarkan DUN serentak bagi memberi jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya tidak ada maklumat. Setakat ini yang rasmi, belum,” kata Tuan Ibrahim kepada MalaysiaGazette.

Bagi DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PN dan DUN Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ditadbir PH tidak dibubarkan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 berlangsung hujung tahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan Pas tidak akan membuat keputusan bersama dengan PH dalam menentukan pembubaran DUN.

Bagaimanapun terdapat pemimpin PH yang mahu DUN dibubarkan serentak.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jika negeri diterajui PH mahu membubarkan DUN Jun ini, itu terpulang kepada mereka.

Tegasnya, Pas akan membuat keputusan sendiri tentang tarikh bersesuaian untuk mengadakan PRN dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat pucuk pimpinan tertinggi parti akan datang.

Tambahnya, pihaknya juga akan membuat kajian pelbagai aspek sebelum menetapkan tarikh sesuai untuk pembubaran DUN.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang ditemui ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN di sini malam ini berkata, parti-parti komponen masih lagi berbincang mengenai pengagihan kerusi.

Jelas beliau, masih banyak masa untuk kepimpinan PN mengadakan rundingan bagi agihan kerusi di enam negeri terbabit.

“Antara yang kita bincang adalah menghadapi PRN negeri nanti.

“Secara keseluruhan kita masih ada banyak masa untuk kita selesai isu-isu yang melibatkan perbincangan rundingan kerusi, fokus dan sebagainya,” katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan adalah Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Abdul Hadi.- MalaysiaGazette