Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Indeks persepsi rasuah (CPI) Malaysia 2022 yang terus merosot kepada 47 mata berbanding 180 negara lain boleh diperbaiki jika kerajaan bertindak tegas dan tidak bertolak ansur kepada jenayah itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkeyakinan indeks itu boleh ditambah baik pada tahun hadapan berdasarkan kepada komitmen Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

“Ya, sebab itu kita ambil tindakan tegas, sekarang mesej kita begitu jelas, saya percaya bagi tahun depan, ia akan ada perbezaan besar.

“Tak pasti (sasaran), pokoknya ada masalah besar dalam negara kita atas sampai ke bawah, kita mesti tegas dan tidak bertolak ansur.

“Pastinya (angka CPI bertambah baik) jika ada tindakan keras, kerajaan ini baharu lagi, Insya-Allah kita boleh,” katanya kepada pemberita di Bukit Jalil hari ini.

Terdahulu, skor CPI Malaysia bagi tahun 2022 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) terus merosot kepada 47 mata dalam kalangan 180 negara.

Skor negara jatuh enam mata berbanding pada 2019 di mana Malaysia berada di tangga ke 53 pada tahun lepas. – MalaysiaGazette