Ahmad Maslan

SHAH ALAM – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan ada berjumpa dengan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) di Putrajaya pagi ini.

Katanya, beliau bersama empat rombongan UMNO berbincang dengan enam pegawai RoS diketuai ketua pengarah dan timbalannya dan perjumpaan itu berlangsung dengan baik serta profesional.

Menurutnya, dalam pertemuan itu juga beliau menyerahkan dokumen yang disediakan oleh peguam dan memberikan penjelasan serta menjawab soalan dikemukakan.

“Jadi, empat pegawai UMNO berhadapan dengan enam pegawai RoS pagi tadi. Segala perkara yang telah saya nyatakan ialah tidak ada sebarang pelanggaran peraturan mesyuarat atau perlembagaan UMNO ketika selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 baru-baru ini.

“Saya nyatakan majoriti lebih 90 peratus perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu bersetuju kepada usul nombor 8 iaitu jawatan presiden dan timbalannya tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

“Saya telah menjelaskan dan dibalas dengan pertanyaan daripada pihak RoS dan saya telah jawab dengan rapi segala jawapan itu berdasarkan peraturan serta juga perlembagaan parti,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan itu berkata demikian kepada media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak di sini petang ini.

Menurut Ahmad, beliau juga akan menyerahkan dokumen tambahan kepada RoS Khamis ini, antaranya minit mesyuarat PAU 2022 secara terperinci dan pindaan perlembagaan UMNO yang dibuat.

“Hari ini, perbincangan dan jawapan saya bahawa tidak ada sebarang pelanggaran terhadap usul yang dibentangkan dari segi peraturan mesyuarat dan perlembagaan.

“Sebab yang dua ahli UMNO yang berjumpa RoS baru-baru ini pun berkaitan isu usul tambahan nombor 8. Hari ini, kami selesai bab itu dahulu, bab lain Khamis ini akan kami bentangkan,” katanya.

Ditanya apakah RoS sudah memberi jawapan pada pertemuan itu, Ahmad menjelaskan, belum ada sebarang keputusan dibuat.

Tetapi beliau meminta RoS memberi jawapan sesegera mungkin kerana UMNO ada beberapa tarikh penting yang perlu dilangsungkan.

Tarikh itu ialah mesyuarat di peringkat cawangan oleh tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri bermula esok hingga 26 Februari, manakala 11 Mac pula ada tiga pemilihan sayap iaitu Jawatankuasa Wanita Bahagian, Jawatankuasa Pemuda Bahagian dan Jawatankuasa Puteri Bahagian.

Kata beliau, pada 11 Mac juga diadakan pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri pusat manakala 18 Mac pula pemilihan untuk Ahli Jawatankuasa Bahagian serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT). – MalaysiaGazette