Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin bersama Datuk Seri Khaled Nordin menyaksikan Bakul Rahmah KPT-UMP untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggerakkan Misi Sukarelawan Banjir Selatan dengan mengagihkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di Kampung Teluk Hutan Lesung Tanjung Sedili Kota Tinggi, Johor Bahru.

Sebanyak 100 sumbangan Bakul Rahmah KPT-UMP berbentuk makanan dan barang keperluan serta 200 set pakej makanan “Ready to Eat” melalui teknologi retort di bawah  inisiatif food@campus (UMP Campus Pantry) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diagihkan bagi membantu mangsa banjir pada Isnin lalu

Menurut Naib Canselor UMP, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin, bekalan Bakul Rahmah itu bermatlamatkan sifar lapar dilihat sebagai persiapan menyediakan  makanan semasa kecemasan bagi membolehkan mereka  mendapatkan makanan yang sihat dan sedia untuk dimakan.

“Pada kali ini kita turun padang mengagihkan keperluan makanan bagi membantu komuniti di Kota Tinggi yang masih terkesan akibat banjir dan masih berada di penempatan banjir.

“Sebelum ini, pada peringkat pertama sebanyak 3,500 pek makanan diagihkan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kepada mangsa banjir Pantai Timur pada Disember lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, inisiatif UMP, Yayasan UMP dengan sokongan KPT ini  membolehkan mangsa yang terkesan banjir di sini mendapat makanan yang dimasak menggunakan teknologi retot.

Antara masakan disediakan ialah nasi berlaukkan ayam masak merah, daging kicap dan nasi goreng.

Ujarnya, Sukarekawan Kilau UMP dalam kalangan staf dan pelajar sentiasa bersiap siaga bagi membantu dalam aktiviti pascabanjir dalam meringankan beban keluarga. – MalaysiaGazette