Pihak bomba sedang melakukan kerja-kerja menyelamat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hanyut ke dalam kolam takungan air di Sungai Petani, Kedah hari ini.

SUNGAI PETANI – Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak lelaki apabila nyaris lemas selepas hanyut ke dalam sebuah kolam takungan di Taman Sejati Indah, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Syukri Hashim berkata, pada mulanya pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.17 petang yang memaklumkan mangsa terjatuh dalam longkang di kawasan perumahan itu ketika hujan lebat.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati kanak-kanak itu telah dibawa arus ke dalam kolam takungan air yang terletak 15 meter dari lokasi dia dilaporkan jatuh.

Pihak bomba berjaya menemui mangsa di tebing kolam takungan air tersebut.

“Anggota bomba membuat kerja-kerja pencarian dan menemui mangsa dalam keadaan selamat pada pukul 5.37 petang di tebing kolam takungan.

“Mangsa dibawa ke tempat selamat sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS),” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut dan operasi ditamat sepenuhnya pada jam 6.02 petang. – MalaysiaGazette