Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) telah menerima sebanyak 734 kes yang diadukan kepada Biro Aduan pada tahun lepas.

Sebahagian besar kes yang diterima adalah berkaitan dengan kandungan Internet mahupun media sosial (518 kes).

Ia merupakan 71% daripada jumlah keseluruhan kes yang diterima oleh Biro Aduan sehingga 31 Disember 2022 yang lalu.

Tambahan pula, terdapat peningkatan terhadap kes media baharu yang diterima oleh Biro Aduan sebanyak 412 kes berbanding pada 2021.

Pecahan kes media sosial di setiap platform ialah WhatsApp (204 kes), Facebook (130 kes), Instagram (68 kes), TikTok (13 kes) dan Twitter (6 kes).

Aduan tersebut terdiri daripada buli siber, penyalahgunaan maklumat peribadi, ‘Love Scams’ dan hantaran yang menyinggung agama; juga beberapa laporan yang berkaitan dengan pelbagai isu yang tular sepanjang tahun.

Bilangan aduan yang semakin meningkat ini mungkin menunjukkan bahawa penyalahgunaan platform media baharu adalah di tahap yang membimbangkan.

Walau bagaimanapun, ia juga merupakan indikator yang sihat bahawa rakyat Malaysia memainkan peranan mereka dalam pengawalseliaan kendiri kandungan, dengan mengenal pasti kandungan yang memudaratkan dan seterusnya melaporkan kandungan tersebut kepada pihak yang berkaitan.

Menurutnya, untuk aduan berkaitan kandungan di media elektronik berangkai seperti televisyen, radio, internet (untuk laman web yang dihoskan di Malaysia), Biro Aduan Forum Kandungan akan menilai dan meneliti setiap aduan dengan merujuk kepada Kod Kandungan.

Biro Aduan Forum Kandungan yang diketuai oleh Pengerusi yang dipilih dan terdiri daripada wakil enam kategori keahlian termasuk penyiar, pengiklan dan kumpulan sivik.

Sekiranya Biro Aduan memutuskan bahawa terdapat pelanggaran kod kandungan, beberapa tindakan boleh diambil iaitu mengeluarkan teguran bertulis; mengenakan denda tidak melebihi RM50,000.00); dan/atau penyingkiran Kandungan atau pemberhentian penyiaran kandungan yang menyinggung perasaan. – MalaysiaGazette