Gambar hiasan

PENDAKAP gigi adalah aplians pergigian yang digunakan oleh pakar ortodontik untuk merawat susunan gigi pesakit. Ia juga digunakan kepada pesakit yang memerlukan pembedahan rahang akibat masalah hubungan rahang tidak normal. Walau bagaimanapun, tidak kurang juga pesakit yang ingin memakai pendakap gigi disebabkan oleh gaya dan fesyen malah ada yang menjadikannya sebagai ukuran status masa kini. Tujuan sebenar pesakit diberi pendakap gigi adalah untuk memperbaiki tahap kesihatan pergigian pesakit. Susunan gigi yang teratur akan memudahkan pesakit membersihkan gigi dan mengelakkan makanan tertinggal di celahan gigi. Rawatan ini juga berupaya memperbaiki fungsi mengunyah dan bertutur, seterusnya menambah baik elemen aestetik pergigian.

Malang sekali, dalam keghairahan pesakit mendapatkan rawatan ini untuk tujuan kecantikan, tahap kebersihan dan kesihatan mulut tidak dipedulikan. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa gigi disokong oleh tisu keras iaitu tulang alveolus yang membentuk sebahagian dari tulang rahang dan juga tisu lembut iaitu gusi. Gigi juga adalah suatu benda hidup, maka ianya mempunyai bekalan salur darah dan saraf yang tersendiri. Selain dari itu, seperti benda hidup yang lain, ia memerlukan persekitaran yang sihat untuk kekal vital dan dapat menjalankan fungsinya dengan baik.

Pendakap gigi dan gigi

Apabila seseorang yang memakai pendakap gigi mengunyah makanan, sisa akan berkumpul di sekitar besi pendakap gigi. Makanan yang terkumpul ini jika tidak dibersihkan, boleh membebaskan asid. Asid bersifat menghakis. Di peringkat awal, keadaan ini meninggalkan tompok putih pada gigi dipanggil lesi tompok putih (white spot lesion). Keadaan ini akan kelihatan dengan lebih jelas selepas pendakap gigi ditanggalkan. Pada sesetengah keadaan, ia meninggalkan kesan menyerupai bentuk bracket pendakap gigi. Tompok putih ini tidak dapat dihilangkan dengan menggosok gigi atau rawatan penskaleran. Hanya langkah pencegahan sahaja yang perlu dibuat supaya keadaan ini tidak terbentuk sama sekali.

Kebersihan mulut juga perlu ditingkatkan supaya perebakan tompok ini tidak berlaku. Jika kebersihan mulut masih tidak dijaga dan ini berpanjangan, tompok putih tersebut boleh menular ke lapisan gigi yang lebih dalam dan menyebabkan pembentukan kaviti atau gigi berlubang. Pada peringkat ini, rawatan tampalan perlu dilakukan dan jika masih juga tidak ditangani akan menyebabkan kaviti menjadi lebih besar dan dalam. Keadaan kaviti yang serius ini mengganggu salur darah dan saraf gigi yang mana akan memerlukan rawatan akar pula. Pada peringkat akhir, gigi tidak lagi dapat diselamatkan akibat kerosakan struktur gigi yang serius.

Terdapat ramai pesakit yang memakai pendakap gigi yang berakhir dengan kehilangan gigi lebih banyak. Ketiadaan gigi boleh mengganggu kesempurnaan sebutan dan pembacaan semasa bertutur. Untuk pesakit Muslim, ini tentu sahaja boleh mengganggu pembacaan al-Quran. Kehilangan gigi yang tidak sepatutnya juga boleh menyebabkan kehilangan tulang penyokong yang berada di tulang rahang muka. Oleh kerana itu, tulang penyokong yang mengecut akibat ketiadaan gigi, boleh menjejaskan rupa paras seseorang.

Pendakap gigi dan bau mulut

Sisa makanan yang tersimpan di dalam mulut boleh menjadi sarang bakteria. Keadaan ini boleh menjadi lebih teruk dengan kehadiran pendakap gigi, di mana aplians ini boleh menyebabkan lebih banyak makanan terperangkap di celahan aplians dan aksesorinya. Tindakbalas bakteria terhadap makanan yang diperam ini akan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan. Akibatnya, setiap kali pesakit membuka mulut dan bernafas suatu aroma yang tidak menyenangkan akan dibebaskan. Keadaan ini akan mengganggu keselesaan orang yang sedang berbual dengan pesakit. Bahkan keadaan yang memerlukan orang lain perlu duduk berhampiran contonhya di dalam kapal terbang, di dalam bas, dewan kuliah malah di rumah ibadat juga turut terkesan di mana kewujudan nafas berbau boleh menimbulkan rasa tidak nyaman kepada jemaah berdekatan. Pada kebiasaannya pesakit tidak menyedari keadaan ini kerana sudah terbiasa dengan bau mulut sendiri. Selain mendatangkan gangguan pada orang sekeliling ia juga mendatangkan aib kepada pesakit sendiri.

Pendakap gigi dan tisu penyokong

Makanan yang diperam dan bakteria yang terkandung di dalamnya boleh menyerang persekitaran gigi iaitu tulang penyokong dan gusi. Gusi boleh menjadi bengkak dan berdarah. Serangan ini boleh merebak ke atas tulang penyokong sehingga boleh menghasilkan nanah dan kehilangan tulang. Dengan keadaan gusi dan tulang yang sebegini, gigi sudah tentunya menjadi goyang dan jika tidak dirawat sekali lagi menyebabkan kehilangan gigi.

Kesimpulan

Pendakap gigi tidak direka untuk menjadi punca masalah mulut dan pergigian tetapi ia banyak bergantung kepada sikap pesakit sendiri. Penjagaan gigi apabila memakai aplians ini boleh dikatakan perlu ditingkatkan sekali atau dua kali ganda berbanding biasa. Adalah tidak digalakkan untuk memakai pendakap gigi jika pesakit tidak menitikberatkan penjagaan gigi yang asas, apalagi memberi komitmen yang lebih tinggi terhadap penjagaan gigi.

Seperti yang dibincangkan di atas, pemakaian pendakap gigi kepada pesakit yang sebegini boleh mendatangkan lebih banyak mudarat pada masa akan datang. Bukan itu sahaja, pesakit mungkin perlu menanggung beban penambahan kos pergigian untuk merawat masalah yang timbul. Ini adalah bertentangan sama sekali dengan tujuan asal rawatan pendakap gigi. Adalah amat menyedihkan pada masa kini masih terdapat pesakit yang datang dengan
penampilan fizikal yang menawan, tetapi jumlah perhatian dan masa yang sama tidak dapat diberikan terhadap penjagaan gigi dan mulut.

Dr Diana Md Zahid dan Dr Syiral Mastura Abdullah
Pensyarah Pergigian (Ortodontik)
Jabatan Pergigian Pediatrik dan Ortodontik
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast