Mohamed Sukri Omar

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) mempunyai ramai calon berkaliber dan bersih untuk memegang jawatan Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan Pas dan Parti Bersatu itu menang majoriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS), Mohamed Sukri Omar berkata, yang penting calon itu mesti mendapat perkenan Sultan Selangor.

“Saya ingatkan rakyat Selangor, usah gusar dan risau. Insya-Allah untuk Menteri Besar Selangor, PN mempunyai ramai calon yang berkaliber dan bersih.

“Tidak keterlaluan saya sebutkan antara calon yang terbaik bagi jawatan itu adalah anak jati Selangor yang mempunyai rekod bersih dan cemerlang sepanjang menjadi wakil rakyat iaitu Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Dr. Ahmad Yunus antara calon PN yang dicadangkan sebagai Menteri Besar Selangor oleh DPPS.

“Beliau yang merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor merupakan doktor perubatan dan telah menunjukkan kepimpinan sebagai pemimpin yang hebat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut beliau, Dr. Ahmad Yunus juga pernah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor selama dua penggal, tiga penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sekarang Ahli Parlimen Kuala Langat.

Di samping itu, kata Mohamed Sukri, wakil rakyat dan pemimpin kanan Pas itu bergiat aktif dalam kebajikan dengan menggerakkan Yayasan Amal Selangor.

“Bagi saya, beliau seorang pemimpin yang ‘Walk The Talk’ dan fokus dalam kerjanya.

“Ini baharu satu calon. Lebih daripada 10 calon Menteri Besar Selangor yang bersih, kompeten dan berkredibiliti dapat diketengahkan.

“Semoga PN menguasai Selangor dan membawa perubahan yang lebih baik pada PRN ini,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Kapten (B) Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi tidak menolak kemungkinan parti itu mencalonkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar sekiranya menang PRN yang perlu diadakan sebelum Jun tahun ini.

Kata beliau, peluang sentiasa terbuka kepada bekas Menteri Besar Selangor itu yang juga ADUN Bukit Antarabangsa untuk kembali memimpin negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang bagaimanapun berkata, segala keputusan terletak kepada kebijaksanaan kepimpinan PN bagi menentukan calon terbaik menjawat jawatan penting berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast