Faisal Abdul Halim. Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Tonggak baharu Selangor FC, Faisal Abdul Halim tidak ambil mudah aksi persahabatan kompetitif pertama berdepan Kedah Darul Aman FC selain ingin menguji prestasi diri sebelum sepak mula sebenar Liga Malaysia.

Sudah tentu ia akan menjadi perlawanan persahabatan penting dalam kejohanan Piala Harapan ini memandangkan Selangor dan Kedah merupakan antara pasukan yang sentiasa menjadi tumpuan di pentas Liga Super.

Apatah lagi, Kedah kini digalas oleh bekas jurulatih Faisal ketika di Terengganu FC iaitu Nafuzi Zain, sekali gus akan menghadirkan pertembungan yang menarik untuk disaksikan di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada malam ini.

Namun, kapten Harimau Malaya ini menyifatkan dia juga cukup selesa dengan pengendali, Tan Cheng Hoe yang mempunyai kelebihan tersendiri dalam membentuk pemain dan pasukan.

“Pada saya sudah tentu ini perlawanan persahabatan pertama untuk Selangor yang mana saya bukan sahaja berharap untuk kemenangan tetapi paling penting adalah untuk kita cari keserasian pemain.

“Kita juga dah tahu apa yang jurulatih inginkan daripada kita dan sudah pasti kami semua akan memberikan saingan yang terbaik.

“Yang penting saya juga perlu kenal pasti apa yang rakan sepasukan inginkan daripada saya dan Alhamdulillah setakat ini tiada masalah.

“Saya juga tidak mahu membandingkan jurulatih Nafuzi dan Cheng Hoe kerana masing-masing ada karakter berbeza.

“Seperti Nafuzi, beliau lebih muda dan Cheng Hoe pula banyak pengalaman di mana beliau juga telah menerima banyak tekanan tinggi dalam apa jua situasi dan tahu apa perlu dilakukan, jadi saya akan belajar mengikuti arahannya”, jelasnya. – MalaysiaGazette