Muhyiddin Yassin (tengah) bercakap pada sidang media selepas Majlis Pemukiman Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional, turut sama Hamzah Zainudin (kiri) dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 02 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pemukiman Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) selama dua hari berakhir hari ini, lebih kepada perbincangan mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai pembangkang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka yang melibatkan 74 Ahli Parlimen akan menjadi pembangkang yang berkesan dan bertanggungjawab sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

“Kita telah mengadakan beberapa sesi taklimat kepada Ahli Parlimen mengenai tugas dan tanggungjawab dalam memberi penjelasan mengenai situasi semasa dalam konteks negara.

“Ini sudah tentu berkaitan dengan isu ekonomi dan lain-lain. Mereka juga diberikan penjelasan mengenai masalah geopolitik global dan bagaimana kesannya kepada negara kita.

“Supaya nanti Ahli-ahli Parlimen PN ini tahu masalah vokal, tempatan ataupun dalam negara dan juga masalah di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pemukiman Ahli-ahli Parlimen PN di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, perbincangan itu juga antara lain mendekatkan semula bukan saja peranan, tetapi kepakaran dan kemahiran Ahli Parlimen memandang mereka mempunyai latar belakang yang berkelayakan seperti akademik serta pengalaman dalam kerajaan sebagai menteri dan timbalan menteri sebelum ini.

Katanya, Majlis Tertinggi PN dalam mesyuaratnya baru-baru ini bersetuju menubuhkan Sekretariat Ahli Parlimen yang diketuai oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Hamzah akan membentuk jawatankuasa portfolio, yang mana Ahli Parlimen yang berkemahiran, yang ada latar belakang dan pengalaman dalam kerajaan mengetuainya bersama dengan beberapa yang lain.

“Mereka akan mengetuai portfolio ekonomi, pertanian, alam sekitar, pendidikan dan sebagainya, yang akan kita edarkan senarai dan peranan ini kepada semua pimpinan parti di seluruh negara.

“Mereka ini nanti akan memberi maklum balas kepada beberapa isu berkaitan dengan portfolio masing-masing supaya kita akan dilihat sebagai Ahli Parlimen pembangkang yang berkesan,” kata beliau. – MalaysiaGazette