Pakej Perpaduan
Fahmi Fadzil.- Foto MUHD NA’IM, 05 DECEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap yang menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan sehingga 30 megabit sesaat (Mbps) bersama data tanpa had pada harga hanya RM69 sebulan.

Menurut beliau, pakej tersebut disasarkan bagi membantu golongan B40, veteran, orang kurang upaya (OKU) serta warga emas, selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk menurunkan kos sara hidup.

Fahmi berkata, pakej itu akan mula ditawarkan bulan depan dengan kontrak langganan selama 24 bulan.

“Harga pakej yang ditawarkan 22 peratus lebih murah berbanding harga pakej semasa dengan spesifikasi yang sama iaitu sekitar RM89 bermakna rakyat dapat menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak.

“Pakej ini adalah dengan kerjasama daripada syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad dan Astro,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau memberitahu, inisiatif tersebut bukan sahaja seiring dengan hasrat untuk meringankan beban rakyat, malahan merupakan indikator bahawa Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan mengambil perhatian terhadap keperluan dan kebajikan rakyat.

Fahmi menambah, Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan juga akan terus berusaha dalam memastikan kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh dengan harga yang lebih rendah seiring dengan konsep Malaysia Madani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast