Kerja-kerja meletakkan tangki ditapak.

BATU PAHAT – Bagi membekalkan air yang mencukupi, 41 pelajar bersama pensyarah Kursus Rawatan dan Sumber Air, Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif membangunkan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) di Surau Ar Rahim, Kampung Parit Rasipan, Parit Raja.

SPAH ialah aktiviti mengumpul dan menyimpan air semula jadi (hujan) untuk kegunaan harian dan mengelakkannya daripada tersejat akibat daripada sebarang aktiviti hidrologi.

Inisiatif itu dilaksanakan setelah kajian awal mendapati surau berkenaan adakalanya menghadapi masalah bekalan air yang tidak mencukupi.

Kerja-kerja penyediaan tangki tapak.

Menurut pensyarah kursus, Ts. Sharifah Meryam Shareh Musa, antara masalah utama yang berlaku ialah aliran air yang perlahan terutama di waktu puncak dan masalah gangguan bekalan air pada waktu berlangsungnya majlis ilmu di surau berkenaan.

Tambah beliau, perbincangan lanjut telah diadakan bersama pihak pengurusan surau dan cadangan membangunkan SPAH telah dikemukakan sebagai alternatif kepada masalah yang dihadapi.

”Konsep asas yang perlu ada dalam sesuatu pembinaan sistem penuaian air hujan adalah kawasan tadahan iaitu bumbung, parit atau gutter untuk mengumpul dan mengalirkan air hujan serta penapis dan tangki sebagai tempat penyimpanan air hujan.

”Manakala saiz tangki yang diperlukan pula bergantung kepada berapa luas kawasan tadahan, jumlah hujan di kawasan tersebut dan kadar penggunaan air di tempat yang akan dipasang.

”Berdasarkan kepada maklumat berikut, reka bentuk dan kos pemasangan tangki dapat ditentukan,” katanya.

Bagi merealisasikan projek berkenaan, pelajar yang terlibat telah melakukan tinjauan, pengukuran dan membuat pengiraan bagi mendapat satu reka bentuk sistem yang terbaik.

Hasil kerja Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) di Surau Ar Rahim, Kampung Parit Rasipan, Parit Raja oleh 41 pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan UTHM.

Keseluruhan proses pembinaan seperti pembinaan tapak, lantai, struktur untuk peletakan tangki air dengan kapasiti sebanyak 600 gelen dan sistem perpaipan berjaya dibina mengikut keperluan.

Untuk rekod, projek khidmat komuniti itu turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Kampus Lestari, Yayasan UTHM dan Center of Project, Property and Facilities Management Services.

Pelaksanaan projek itu secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar kursus berkenaan untuk mengaplikasikan semua ilmu berkaitan pembinaan yang dipelajari di dalam bilik kuliah secara teori terus ke lapangan melalui satu projek sebenar.

FPTP berharap projek SPAH itu dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi sebelum ini.

Sharifah Meryam berharap projek ini dapat menjadi contoh kepada masyarakat dalam mencari sumber air alternatif dengan menggunakan sumber air semula jadi untuk kegunaan harian.

“Sistem yang dibangunkan ini harap bukan sahaja dapat mengurangkan kos pembayaran bil air bulanan, namun dapat menjadi salah satu kaedah penyelesaian masalah sumber air yang semakin kritikal pada masa kini,” katanya. – MalaysiaGazette