Sepasang suami isteri berdepan tali gantung selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah yang disuntik ke dalam botol minuman kultur dan jus, bulan lalu.

MELAKA – Sepasang suami isteri berdepan tali gantung selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah yang disuntik ke dalam botol minuman kultur dan jus, bulan lalu.

Tertuduh, Lee Wui Khang, 34, dan isterinya warga Thailand, Pimanmart Chai Songkram, 30, menggangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berdepan enam pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana kes membabitkan hukuman mati adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan satu hingga enam, tertuduh secara bersama-sama dalam mencapai niat bersama didakwa telah mengedar dadah jenis cecair ketamin anggaran berat (56,100 mililiter) serbuk ketamin (3,711), 3,4 methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (299 gram), nimetazepam (144 gram) dan ketamin (96.69 gram).

Kesemua kesalahan itu dilakukan pada pukul 8.25 malam di sebuah pangsapuri Straits Emerald Tower, Jalan Merdeka, Garden City Melaka dalam daerah Melaka Tengah, pada 20 Januari 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Manakala bagi pertuduhan ketujuh, pasangan itu membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis (33.53 gram) di masa, tempat dan tarikh sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali atau lebih sembilan sebatan.

Dalam prosiding sama, Lee turut didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis ketamin berat kasar 3,910 mililiter yang didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 8.10 malam di tempat parkir kereta di hadapan pangsapuri Straits Emerald Tower, Jalan Merdeka, Garden City Melaka dalam daerah Melaka Tengah, pada 20 Januari lalu.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 15 Mac depan untuk serahan laporan kimia dan sebutan semula kes.

Pada 25 Januari lalu, media melaporkan polis menumpaskan taktik pasangan suami isteri mengedar dadah dengan cara menyuntiknya pada minuman susu kultur berjenama terkenal dan jus bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, pasangan suami isteri berusia 34 dan 28 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Banda Hilir, di sini, 21 Januari lalu lalu.

Ketika serbuan kira-kira pukul 8 malam, polis menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM206,511 yang dibotolkan dan disimpan di sebuah pangsapuri yang dijadikan stor dadah.

Lelaki itu dan isterinya  dipercayai bergerak aktif di pusat hiburan sekitar Melaka dengan cara mencampurkan dadah jenis cecair ke dalam botol minuman.

Modus operandi digunakan adalah dengan menyuntik dadah ini ke dalam bekas dan dicampur dengan minuman sebelum ia dibungkus semula sebelum ia dijual di kelab-kelab malam selain memenuhi permintaan lain di luar premis itu. – MalaysiaGazette.