Kerjasama dimeterai oleh Naib Canselor UMT dan Monaliza Suhaimi bertempat di kampus UMT, Kuala Nerus.

 

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang mewujudkan jalinan kerjasama melalui perjanjian persefahaman (MOU) dalam meningkatkan kecekapan pengurusan pelabuhan sedia ada.

Kerjasama itu melibatkan kerja-kerja rundingan serta libaturus yang dijalankan sekumpulan enam penyelidik di Fakulti Pengajian Maritim, UMT diketuai oleh Prof. Madya Ts Dr. Nurul Haqimin Mohd Salleh.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, kerjasama melibatkan geran bernilai RM178,560.00 menyerlahkan lagi bidang pengajian maritim yang ditawarkan serta kepakaran yang dimiliki institusi itu.

”Sekumpulan pakar penyelidik maritim dari UMT telah dilantik oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, yang diketuali oleh Dr. Nurul Haqimin Mohd Salleh bersama-sama 6 ahli penyelidik lain telah dianugerahkan kontrak penyelidikan yang bertajuk “Kajian Kebolehlaksanaan bagi Pembangunan Sistem Pelabuhan Komuniti Pulau Pinang” yang bernilai RM178,560.00.

“Ini suatu pengiktirafan kepada penyelidik bukan bidang sains yang melibatkan jumlah geran yang agak besar,” katanya.

Tambahnya, rundingan itu juga bertujuan untuk mewujudkan platform baharu bagi mengintegrasikan beberapa aplikasi yang terlibat dalam pengoperasian pelabuhan.

“Kedua-dua belah pihak setelah sepakat untuk mewujudkan sistem perkomputeran digital pelabuhan secara bersepadu yang berasaskan “Single Window” yang bertemakan “Penang Port Community System” (PPCS) yang akan dibangunkan bagi melancarkan urusan pengendalian sistem data di pelabuhan secara komprehensif dengan sokongan pendigitalan”.

Kajian Kebolehlaksanaan (Feasibility Study) itu telah bermula sejak Oktober 2022 bertujuan untuk mengukur tahap kesesuaian dan kewajaran pembangunan sistem PPCS yang meliputi pelbagai pemegang taruh untuk Pelabuhan Pulau Pinang secara khusus dan kini telah mencapai kemajuan 80%.

MoU itu dimeterai oleh Naib Canselor UMT dan Pengurus Besar Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Monaliza Suhaimi bertempat di kampus UMT, Kuala Nerus.

Penyelidikan itu perlu dalam menggerakkan pelabuhan ke arah ‘Single Window’ yang mana segala maklumat berkaitan ketibaan, berlabuh, pelepasan kapal, penumpang dan kargo dihantar secara aplikasi elektronik berintegrasi berkuatkuasa pada 1 Januari 2024 selaras tuntutan International maritime Organization menerusi pindaan dalam 46 th Facilitation Committee. – MalaysiaGazette