SHAH ALAM – Kesemua 22 UMNO Bahagian di Selangor sebulat menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terhadap Tan Sri Noh Omar termasuk tindakan memecat keahliannya yang berkuatkuasa, Jumaat lalu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin berkata, mereka juga akan pertahankan keputusan tersebut dan dipatuhi demi kerukunan parti Melayu itu.
“Sebanyak 22 UMNO Bahagian di Selangor mendorong dan akan sentiasa mempertahankan keputusan yang telah diputuskan oleh MKT itu melalui saranan Lembaga Disiplin UMNO.
“Walaubagaimanapun, saya fikir keputusan itu mestilah dipatuhi oleh peringkat UMNO,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penggantungan enam tahun keahlian bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu yang kemudiannya dipecat atas kehendak beliau sendiri.
Selain Noh, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga dipecat daripada UMNO.
Manakala beberapa pimpinan UMNO lain pula digantung keahlian UMNO sehingga enam tahun.
Antaranya Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Tambah Megat, meskipun Noh dikenakan tindakan tatatertib, namun UMNO Selangor tidak melupakan jasa ketika menerajui parti itu sejak beberapa penggal lalu.
“UMNO Selangor mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Noh Omar yang selama ini telah memimpin UMNO Selangor,” katanya.
Sementara itu, dalam usaha untuk meredakan keresahan akar umbi UMNO yang pernah dipimpin Noh, Megat akan menemui sayap dan ahli UMNO Bahagian Tanjong Karang, esok.
“Esok saya akan ke UMNO Tanjong Karang untuk bertemu dengan keseluruhan kepimpinan UMNO Bahagian Tanjong Karang.
“Bermula dengan peringkat Puteri, Pemuda dan Wanita serta cawangan supaya meneruskan semangat berhadapan dalam Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette