KUALA LUMPUR – “Saya sendiri kerugian lima angka yang merupakan duit simpanan saya lebih 10 tahun.”

Itu luahan seorang mangsa penipuan aplikasi dalam talian e-Dagang yang mahu dikenali sebagai Adib.

Lelaki berusia 25 tahun itu mula menggunakan aplikasi terbabit pada awal tahun 2021 selepas diperkenalkan oleh seorang rakan.

Mangsa, Adib bercakap kepada media mengenai kes penipuan aplikasi e-Ganjaran di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2023.

“Setiap transaksi menggunakan aplikasi itu pengguna akan menikmati penjimatan sehingga 50 peratus. Sebagai contoh, isi petrol pada harga RM90 namun hanya perlu bayar RM45.

“Selain penjimatan petrol, barang-barang runcit, insurans kereta malah emas juga dapat dibeli dengan separuh harga,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dan Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

Menurut Adib, aplikasi tersebut telah mula ditubuhkan pada tahun 2018 namun mendapat sambutan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun 2020.

“Ramai yang terkesan dari segi ekonomi ketika itu, aplikasi tersebut yang datang sebagai penjimatan ini  berjaya menarik ramai orang untuk mendaftar,” katanya.

Dia yang bekerja sendiri berkata, mereka hadir di IPD Sentul hari ini mahu menuntut keadilan.

“Mereka yang rugi kebanyakan dalam kalangan warga emas. Ada individu yang merupakan bekas pekerja bank kehilangan duit simpanan sehingga RM1.2 juta.

“Saya minta pihak polis untuk membuat siasatan menyeluruh dan berharap tiada lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini,” katanya.

Mangsa, Mandy bercakap kepada media mengenai kes penipuan aplikasi e-Ganjaran di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2023.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Mandy, 40, mendakwa mengalami kerugian hampir RM30,000 selepas menyertai aplikasi terbabit pada Disember 2021.

“Aplikasi ini menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan termasuk pasar raya terkemuka dan menawarkan ganjaran mata bagi setiap pembelian dengan diskaun 50 peratus.

“Saya yang mempunyai tiga anak, sudah tentu mahu berjimat dalam perbelanjaan harian. Dengan menggunakan aplikasi itu, saya dapat membeli barangan keperluan di pasar raya pada harga yang jauh lebih murah.

“Saya sempat menggunakan aplikasi terbabit selama dua bulan sebelum ianya  berdepan masalah sehingga semua wang dan ganjaran hilang dan aplikasi itu tidak dapat digunakan sejak Januari lalu,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai guru muzik berharap siasatan dijalankan bagi membela nasib mangsa-mangsa yang ditipu.

Scammers hidup gembira, kita di sini sengsara terpaksa berfikir bagaimana untuk berjimat,” katanya.

Mangsa, Rafiq bercakap kepada media mengenai kes penipuan aplikasi e-Ganjaran di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2023.

Sementara itu, Rafiq, 40, mendakwa kerugian RM70,000 selepas menyertai aplikasi itu pada 2021.

Kakitangan kerajaan itu berkata, sebelum menggunakan aplikasi terbabit, dia merujuk kepada seorang pendakwah yang juga merupakan Pencetus Ummah (PU) bagi memastikan aplikasi itu mematuhi syariat.

“Saya bimbang aplikasi itu melanggar syariat Islam kerana tawaran yang diberikan penjimatan sehingga 50 peratus bagi setiap pembelian di premis tersenarai.

“Setelah bertanya sendiri dengan PU terbabit, jawapan yang diberikan adalah mematuhi dan harus dalam muamalat, jadi saya terus mengambil fakta yang diberikan tanpa rasa was-was,” katanya.

Jelasnya, dia sempat menggunakan aplikasi itu selama setahun sebelum mengalami masalah dan menyedari telah ditipu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MHO gesa polis siasat perkhidmatan e-Ganjaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast