Penganjuran Majlis Walimatul Urus Perdana akan dijadikan sebagai satu acara tahunan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Naurah Care merancang untuk menjadi penganjuran Majlis Walimatul Urus Perdana sebagai acara tahunan dalam membantu pasangan golongan asnaf serta mualaf bernikah.

Pengerusi Naurah Care, Sheikh Ahmad Fakhruddin Sh. Abd. Rahim berkata, ini kerana program itu secara tidak langsung menjadi tarikan pelbagai pihak termasuk pelancong asing bagi mengetengahkan budaya di negara ini pada masa akan datang

Justeru, beliau memberitahu, acara seterusnya dijangka berlangsung lagi pada Disember ini.

Naurah Care adalah pertubuhan kemanusiaan yang dipertanggungjawabkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengendalikan program julung kali itu di Dataran Merdeka baru-baru ini.

“Bagaimanapun, jumlah untuk sesi seterusnya kami tidak pasti dan ia bergantung kepada pihak MAIWP nanti.

“Paling penting, acara seperti ini diadakan dengan pelbagai aktiviti lain untuk bersama-sama mengetengahkan budaya masyarakat ini di samping memberi peluang kepada ramai orang mengenai peranan MAIWP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Ahmad Fakhruddin Sh. Abd. Rahim.

Penganjuran perkahwinan besar-besaran bertemakan ‘Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam’ itu  berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semua 100 pengantin diarak menaiki  bas Hop on Hop Off KL mengelilingi Jalan Raja Laut sehingga ke tapak karnival di Dataran Merdeka dan mereka juga disandingkan atas pelamin yang disediakan.

Sementara itu, Sheikh Ahmad Fakhruddin berkata, pihaknya akan mempelbagaikan acara sampingan dalam penganjuran perkahwinan besar-besaran pada masa akan datang.

Pada majlis itu, jamuan makan yang dihadiri oleh ahli keluarga masing-masing dengan jumlah yang terhad turut memeriahkan majlis berkenaan.

MAIWP telah menawarkan skim bantuan perkahwinan sejak tahun 2006 yang bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000 kepada kumpulan sasarannya.

Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban bakal pengantin dalam mengadakan majlis walimatul urus.

Pada tahun 2022, MAIWP te­lah membantu sebanyak 412 pe­nerima dengan melibatkan per­belanjaan sebanyak RM1.08 juta.

Sehingga bulan Disember lalu, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM855.51 juta dana zakat kepada asnaf yang memerlukan.

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM533.61 juta telah di­belanjakan melalui agihan zakat secara langsung menerusi skim bantuan zakat manakala sebanyak RM30.86 juta pula telah dia­gihkan menerusi institusi pendidikan di bawah agensi tersebut – MalaysiaGazette