Wan Salim.

GEORGE TOWN – Meskipun orang Islam dilarang menyertai ritual agama lain namun persahabatan dengan golongan bukan Muslim masih boleh diraikan dalam majlis keramaian, tempat kerja atau aktiviti sukan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, orang Islam dilarang menyertai atau menghadiri upacara menyembah berhala, patung, Jesus Christ serta memuja roh nenek moyang kerana ia dianggap perbuatan syirik.

“Seseorang muslim tidak dilarang (harus) menghadiri majlis perkahwinan dan majlis kematian orang bukan Islam selagi mana di dalam majlis-majlis itu tidak melibatkan perkara maksiat seperti minum arak, tarian yang menghairahkan, pendedahan aurat wanita dan sebagainya.

“Malah perlu diketahui bahawa agama Islam adalah agama tauhid yang mutlak berpaksikan atas kepercayaan kepada Allah secara tegas dan hanya Allah sahaja yang disembah dalam Islam.

“Kita perlu fahami isu ini secara jelas bahawa konsep ketuhanan adalah berbeza di dalam pelbagai agama dan hakikat ini sudah wujud sejak zaman silam sehingga ke hari ini,” katanya hari ini.

Wan Salim berkata demikian bagi mengulas mengenai Kerajaan Negeri Johor yang akan mewartakan Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam dalam masa terdekat.

Ia  bagi membolehkan umat Islam di Johor mempunyai garis panduan sebelum menyertai sesuatu majlis perayaan agama bukan Islam.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, masyarakat boleh memupuk sikap toleransi antara penganut pelbagai agama dengan saling menghormati kepercayaan dan amalan semua kaum.

Katanya, antara agama yang menjadi anutan rakyat Malaysia mempunyai elemen kebersamaan yang boleh dikongsi dan bekerjasama iaitu bidang akhlak atau moral.

“Saya lebih suka melihat isu hubungan rentas agama dan budaya ini dalam skop yang luas dan didapati terlalu banyak persamaan yang wujud antara sesama rakyat, jadi kenapa kita perlu fokus kepada perbezaan yang hanya sedikit?

“Kita dapati semua agama mengajar penganut masing-masing supaya sentiasa melakukan kebaikan, menegak keadilan, membantu golongan fakir miskin, belas kasihan kepada kanak-kanak terutama anak- anak yatim, menghormati orang tua dan sebagainya justeru, tidak perlu kita fokus kepada perbezaan seperti aspek kepercayaan.

“Biarlah semua kaum berpegang kepada kepercayaan masing-masing dan mengadakan ritual sepertimana yang diajar di dalam agama mereka dan dalam al-Quran juga terdapat ayat yang menyatakan setiap penganut agama bebas beribadat dengan cara masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. BUDAYA DAN AKIDAH 2 PERKARA BERBEZA….PERLU DIINGATKAN ADA BUDAYA YANG TERSELIT DALAM KEPERCAYAAN agama….mantan PM NAJIB RAZAK terjerumuss dengan perarakan berhala di BATU CAVES….dengan alasan SATU MALAYSIA

Comments are closed.