KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengkaji semula keputusan kerajaan mengurangkan peruntukan pembangunan kepada setiap Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng berkata, pengurangan peruntukan itu akan menjejaskan banyak sumber ekonomi untuk rakyat, lebih-lebih lagi di Sarawak.
Katanya, bawah tiga Perdana Menteri sebelum in setiap Ahli Parlimen diberi peruntukan yang sama, termasuk tambahan sebanyak RM500,000 untuk mereka dari Malaysia Timur.
“Kini 70 peratus daripada pembiayaan kami untuk kawasan Parlimen telah dikurangkan.
“Saya harap kerajaan mempertimbangkan semula untuk memperuntukkan semula lebih banyak sumber untuk rakyat kerana ramai yang akan terjejas akibat tindakan pengurangan ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.
Di Port Dickson semalam, Anwar dilaporkan berkata, peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan negara.
Menurut beliau, peruntukan itu akan diselaraskan dengan pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri serta disalurkan secara berperingkat mengikut keperluan.
Ini, kata Anwar, termasuk untuk projek yang mendesak seperti pembaikan jalan yang rosak dan mendalamkan sungai. – MalaysiaGazette