KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji akan membangkitkan isu tuntutan baharu pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika perbahasan di Parlimen minggu depan.
Ahli Parlimen Bera itu menerima kunjungan dari Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin (PWRP) di pejabatnya semalam, meminta beliau mewakili rakyat agar pengeluaran KWSP secara bersasar dapat diluluskan Kerajaan Perpaduan.
“Saya terima kunjungan dari pertubuhan ini di pejabat saya petang semalam. Mereka serahkan memorandum pengeluaran KWSP bagi menuntut pengeluaran secara bersasar untuk menangani kos sara hidup yang semakin meninggi.
“Terima kasih Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin atas pertemuan ini dan diharapkan terus menjadi mata dan telinga rakyat dan sentiasa peka dengan keperluan rakyat di negara ini.
“Insya-Allah saya akan bangkitkan isu ini sewaktu perbahasan di Parlimen yang akan berlangsung mulai pertengahan bulan Februari ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Semalam, Presiden PWRN, Jannahtul Ain Jaafar berbesar hati persetujuan Ismail Sabri menerima kunjungan mereka untuk mendengar rintihan rakyat, terutama pencarum KWSP.
Menurut beliau, dalam pertemuan itu juga mereka menyerahkan memorandum tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 kepada mantan Perdana Menteri itu untuk perhatian dan susulannya.
Beliau berharap, memorandum yang mendesak kerajaan membenar dan meluluskan pengeluaran khas KWSP 2.0 iaitu 50 peratus melalui akaun 1 dengan kadar maksimum RM50,000 dapat dibawa serta dibentangkan dalam Parlimen minggu depan. – MalaysiaGazette