Mohd Shukri Ramli

­­KUALA LUMPUR – Pembekuan akaun Parti Bersatu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, tidak menjejaskan Pas sebagai rakan komponen Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli berharap SPRM tidak mengambil masa agak lama untuk menjalankan siasatan kerana PN akan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Saya harap SPRM segerakan siasatan. Pembekuan akaun parti tidak wajar dilewat-lewatkan dengan mengambil kira semua parti membuat persediaan menghadapi PRN.

“Lagi pun saya tak jangka mereka (Bersatu) mempunyai banyak duit sampai perlu dibekukan akaun,” katanya semalam.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM membeku beberapa akaun milik Bersatu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjawab tindakan itu dengan mendakwa parti itu tidak menerima sebarang wang daripada dana Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM92.5 bilion sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Beliau juga yakin pegawai SPRM akan menjalankan siasatan secara profesional berhubung dakwaan itu yang menyebabkan akaun Bersatu dibekukan.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri yang juga Menteri Besar Perlis berkata, Bersatu belum dijatuhkan hukuman dan hanya di peringkat pembekuan akaun bank sahaja untuk membolehkan siasatan dijalankan SPRM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.