The Pakatan Harapan flag is seen in Melaka in conjunction with the upcoming Melaka State Election. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 08 NOVEMBER 2021
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) Selangor dijangka mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu pembahagian kerusi untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tahun ini.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor Izham Hashim berkata, pertemuan itu akan berlangsung membabitkan beliau sendiri, pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo yang disusuli satu mesyuarat jawatankuasa teknikal.

“Pada prinsipnya tujuan pertemuan itu adalah kerana kita nak gariskan kriteria bagaimana pengagihan itu. Kita ada beberapa cara tapi saya tak perlu dedahkan di sini sebab ia sangat terperinci.

“Kita tak boleh minta-minta kerusi sahaja kerana itu tiada penghujung, jadi kena ada cara atau kriteria bagi pembahagian kerusi yang adil agar boleh diterima oleh semua parti komponen,” kata beliau kepada pemberita pada Program Jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 di Taman Nirwana, Ampang di sini hari ini.

Selain itu, Izham berkata mesyuarat PH Selangor baru-baru ini juga telah membuat keputusan untuk mengadakan rundingan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri berhubung isu yang sama.

“Secara tidak rasmi kita dah bertemu, nampak positif dan mereka (UMNO dan BN) pun telah memberikan maklum malas yang baik dan kita berharap dapat menyelesaikan isu pembahagian kerusi ini dan sebagainya sebelum Ramadan supaya dapat fokus pada kerja-kerja di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, Izham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor  memaklumkan kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi wang ihsan kepada penduduk 15 rumah di Taman Bukit Permai 2, Ampang selepas diarahkan berpindah ekoran kawasan didiami diklasifikasikan sebagai tidak selamat selepas insiden tanah runtuh pada Mac tahun lepas.

“Anggaran dalam RM300,000 setiap penduduk akan dapat dan rumah itu akan dikosongkan malah Majlis Perbandaran Ampang Jaya sudah keluarkan arahan pengosongan dan kita akan robohkan 15 rumah itu untuk dijadikan penampan,” katanya.

Izham berkata selain pemberian wang ihsan, pemilik rumah yang terjejas turut ditawarkan kediaman projek Rumah Selangorku yang akan dijual pada harga istimewa iaitu RM200,000 sahaja.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada Mac tahun lepas meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast