Khairy UMNO
Khairy Jamaluddin ketika hadir ke Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Hotel Royale Chulan Seremban, Negeri Sembilan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 OKTOBER 2022.

UMNO memang sebuah parti yang bersifat pemaaf. Bukan sedikit pemimpin-pemimpin UMNO yang dipecat, digantung atau keluar parti namun akhirnya diterima semula dan dijulang ke kedudukan yang tinggi.

Contoh yang terbaik ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau dipecat pada 26 September 1969 kerana mengkritik secara terbuka Presiden UMNO ketika itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kira-kira tiga tahun kemudian, Mahathir kembali menjadi ahli UMNO dan kemudian beliau memenangi kerusi Naib Presiden dalam pemilihan parti 1976.

Seterusnya, beliau mencatatkan rekod sebagai tokoh yang paling lama memegang jawatan Presiden UMNO, iaitu selama 22 tahun mulai 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.

Begitu juga dengan beberapa nama besar yang lain seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Dr. Rais Yatim yang bersama-sama menubuhkan Parti Semangat 46 setelah kem mereka gagal mencabar penguasaan Dr. Mahathir pada pemilihan UMNO 1987.

Malah, Rais dikatakan pernah mengungkap serangkap pantun yang membayangkan beliau telah ‘membakar jambatan’ sebagai simbolik penentangan terhadap kem Mahathir ketika itu.

Setelah Parti Semangat 46 dibubarkan pada 1996, kedua-duanya kembali ke pangkuan UMNO yang masih dipimpin oleh Mahathir dan Rais diberi kepercayaan untuk menganggotai Kabinet Perdana Menteri keempat itu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) dari tahun 1999 hingga 2003.

Kini, situasi yang hampir serupa berlaku terhadap bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipecat oleh parti pada 28 Januari lalu.

Setakat ini, masih belum diketahui ke mana hala tuju Khairy. Beliau masih belum menyatakan secara terbuka sama ada akan menyertai parti lain atau berehat seketika daripada bergiat dalam politik secara aktif.

Andai ditakdirkan perjalanan politik Khairy sama seperti apa yang pernah ditempuhi Mahathir, tindakan pemecatan tidak seharusnya dilihat sebagai titik penamat dalam konteks hubungannya dengan UMNO.

Sejak namanya meningkat sebagai bintang politik muda ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi, Khairy sering diuar-uarkan sebagai antara pemimpin pelapis yang mampu menjadi Presiden UMNO satu hari nanti.

Beliau telah menunjukkan kesungguhan untuk mencapat matlamat itu dengan bertanding merebut jawatan Presiden pada pemilihan UMNO 2018.

Selain sering tampil dengan idea-idea yang berbeza dan segar, Khairy juga telah membuktikan kemampuannya menerajui tiga kementerian di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri yang berbeza.

Cuma nasib tidak menyebelahinya apabila tewas di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang sememangnya kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

Mungkin Khairy boleh memanfaatkan masa yang terluang selepas dipecat untuk bermuhasabah diri dan membina kekuatan baharu terutamanya di peringkat akar umbi.

Memang benar ketika ini Khairy ‘berlaga angin’ dengan kepimpinan UMNO yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus membayangkan sukar untuk beliau diterima semula menyertai parti sekurang-sekurangnya sepenggal lagi.

Namun, dalam dunia ini tiada apa yang kekal selama-lamanya dan Ahmad Zahid juga bakal mengundurkan diri daripada pucuk pimpinan parti setelah tiba masanya nanti.

Sebagai parti yang bersifat pemaaf, tidak mustahil kepimpinan UMNO selepas era Ahmad Zahid akan menerima Khairy semula serta membuka kembali ruang untuk beliau mendaki hierarki kepimpinan sehingga sampai ke puncaknya sebagai Presiden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast