Datuk Hajiji Noor

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini secara rasmi dipilih sebagai Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) parti itu hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam kenyataan hari ini berkata dengan pemilihan itu beliau dan semua ahli GRS mempunyai wadah politik yang 100 peratus tempatan bagi meneruskan perjuangan untuk rakyat dan negeri.

“Dua ciri utama Gagasan Rakyat yang menjadi faktor penarik saya dan rakan-rakan untuk bersama-sama dalam parti ini ialah parti berbilang kaum yang membawa citra inklusiviti dan parti suara anak Sabah yang mengangkat citra perjuangan tempatan,” katanya.

Beliau berkata agenda Gagasan Rakyat juga selari dengan empat tonggak perjuangan GRS iaitu Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu).

“Kita memilih dan memutuskan bahawa formula tempatan berupaya melonjakkan agenda perjuangan dan kepentingan negeri dalam Persekutuan Malaysia. Kita mahu pelaksanaan sistem federalisme yang lebih bernilai dan bermakna, berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Hajiji berkata beliau akan menerangkan dengan lebih terperinci hala tuju Gagasan Rakyat pada 2 Mac depan.

Menurutnya struktur organisasi parti juga akan ditubuhkan di semua 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk pembentukan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.

Katanya mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian parti dijadualkan pada Julai dan September depan manakala Kongres Tahunan pada November.

Hajiji turut mengumumkan barisan awal Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat dengan selebihnya akan dilantik dalam masa terdekat.

Berikut senarai Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat :

Presiden: Datuk Seri Hajiji Noor

Timbalan Presiden: Datuk Seri Masidi Manjin

Naib Presiden I: Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif

Naib Presiden II: Datuk Rubin Balang

Naib Presiden III: Datuk Masiung Banah

Ketua Pergerakan Wanita: Datuk Redonah Bahanda

Ketua Pergerakan Pemuda: Datuk Fairuz Renddan

Ketua Pergerakan Beliawanis: Emmie M.Idang

Setiausaha Agung: Datuk Mohd Razali Razi

Timbalan Setiausaha Agung: Stephen Jacob Jimbangan

Bendahari Agung: Datuk Ghulam Haidar Khan

Timbalan Bendahari Agung: Datuk Tahir Picho

Ketua Penerangan: Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.- BERNAMA