Young Syefura Othman

KUANTAN – Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta supaya tidak mengamalkan budaya pilih kasih dan sikap seksis terhadap penampilan mana-mana pengadu yang berurusan.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, polis seharusnya menjalankan tugas tanpa prejudis untuk menjaga keamanan bukan menjadi ‘polis moral’ kepada rakyat dengan menilai mana-mana pengadu.

Beliau mengikuti perkembangan semasa mengenai kejadian di mana seorang wanita tidak dibenarkan masuk ke sebuah balai polis kerana tidak berpakaian sopan baru-baru ini.

“Double standarc dan sikap seksis tidak perlu ada pada anggota dan pegawai polis. Saya juga meneliti kenyataan Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sany) dan juga kenyataan-kenyataan lain berkaitan dengan isu ini,”  katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya yang mesra sebagai Rara, rata-rata yang hadir ke balai polis untuk membuat laporan adalah rakyat yang memerlukan bantuan dan pakaian yang dipakai dan penampilan mereka sepatutnya tidak menjadi isu.

Beliau berpendapat warga polis perlu melatih anggota dan pegawai mereka untuk bersedia menerima kehadiran rakyat waima pakaian dan penampilan mereka.

Rara berkata, polis perlu sentiasa tenang dan sedia berkhidmat untuk rakyat termasuklah menerima laporan daripada rakyat yang terdesak tidak kira apa jua penampilan mereka pada ketika itu.

“Prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ yang disebut oleh Ketua Polis Negara sepatutnya perlu dipraktikkan juga oleh anggota dan pegawai polis yang menerima laporan dengan professional.

“Saya berharap agar perkara sebegini tidak berlaku lagi. Semua rakyat perlu diberikan akses untuk masuk ke balai polis untuk membuat laporan polis tanpa perlu dihakimi penampilan mereka,” katanya. – MalaysiaGazatte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast