Antara Terowong Genting projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Pahang yang membina sebuah laluan kereta api baru yang akan menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang ketika di Jalan Lama Kuala Lumpur- Bentong, Pahang. Foto, MOHD ADZLAN 23 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Pembukaan tanah untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor tidak melibatkan penyahwartaan hutan simpan, termasuk kawasan-kawasan di Taman Negeri Selangor.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata, bagi memudahkan kerja-kerja awal pembinaan projek itu, pihaknya telah memperoleh permit izin lalu (right-of-way permit) daripada Jabatan Perhutanan untuk membolehkan kontraktor-kontraktornya memasuki kawasan hutan simpan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berlesen yang berkaitan ECRL.

“Bagi memelihara alam sekitar, Projek ECRL telah mematuhi garis panduan dan syarat termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Endapan (ESCP) yang masing-masing telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan Jabatan Pengairan dan Salinan (DID),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

MRL adalah pemilik projek ECRL manakala  China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) merupakan kontraktor utama projek tersebut.

Kelmarin, media melaporkan pencerobohan hutan berbentuk pembalakan haram dikesan berlaku di empat kawasan di sekitar Hutan Simpan Hulu Gombak dan Serendah, sekitar akhir tahun lalu dan awal bulan ini berikutan pendedahan yang dilakukan sebuah badan bukan kerajaan (NGO)

NGO tersebut dalam laporannya menyatakan Taman Negeri Selangor digazetkan pada 2007 dan adalah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) kedua terbesar di Semenanjung selepas Taman Negara.

Menurut MRL, pihaknya mengambil maklum terhadap kebimbangan yang disuarakan oleh NGO itu dan sentiasa komited dalam memenuhi semua keperluan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri untuk memelihara alam sekitar dan menjaga kepentingan orang awam.

Bagi projek yang sedang berjalan di negeri Selangor, menurut kenyataan itu, pihaknya sedang bekerja rapat dengan pihak-pihak berkuasa dan agensi-agensi kerajaan di semua peringkat termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kerja-kerja pembinaan ECRL untuk Seksyen C2 ECRL (Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang) yang secara keseluruhannya terletak di negeri Selangor, dijalankan dengan teliti di bawah rundingan bersama komuniti tempatan dan pihak berkepentingan yang berkenaan serta mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.

“Sebagai rekod, kelulusan Skim Kereta Api ECRL bagi Seksyen C2 telah diberikan oleh Kementerian Pengangkutan kepada MRL pada 14 Januari 2022 selepas Pemeriksaan Awam selama 3 bulan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” ujarnya.

Menurut MRL, penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) telah diserah kepada DOE pada 30 November 2021 dan mendapat kelulusan pada 20 Disember 2021.

Jelasnya, pada 14 September 2022, pihaknya telah mendapat kelulusan dari Kerajaan Negeri Selangor untuk meneruskan pembinaan projek ECRL bagi jajaran rel Seksyen C2 di Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast