KUALA LUMPUR – Kerajaan berdepan dengan cabaran utama untuk menambah pendapatan negara, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, lebih mencabar permintaan peruntukan untuk pengurusan dan pembangunan tidak terhad.
Sedangkan, katanya, pendapatan yang diperolehi kerajaan mempunyai hadnya mengikut jumlah perolehan daripada cukai dan bukan cukai.
“Kita tidak nafikan kaedah untuk tingkatkan pendapatan kerajaan memang menjadi cabaran utama kepada semua negara termasuk Malaysia.
“Ini disebabkan permintaan peruntukan tidak terhad nilainya, sedangkan pendapatan ada hadnya.
“Tetapi, sebagai kerajaan, kita akan pastikan setiap hasil cukai dan bukan cukai terus dapat diberikan kembali kepada rakyat,” katanya menerusi ciapan Twitternya, hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, pendapatan tinggi kepada rakyat wajar diutamakan seperti pelaksanaan gaji minimum, ekonomi berteraskan pelaburan yang berkualiti dan mengurangkan ekonomi penggunaan.
Selain itu, katanya pendapatan yang tinggi juga perlu melalui penambahan pengeluaran bagi mengurangkan harga barang dan belanja secara berhemah. – MalaysiaGazette