KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya ketua-ketua Wanita UMNO negeri dipaksa memberi sokongan terhadap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad adalah tidak benar sama sekali.
Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata, kebanyakan negeri yang menyatakan sokongan terhadap Noraini dan timbalannya, Datuk Norliza Rahim untuk terus menerajui Wanita UMNO berbuat demikian atas kerelaan sendiri.
Menurut beliau, ia adalah seiring dengan usul yang dibawa pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 baru-baru ini.
Sehubungan itu, Rosni menafikan tohmahan bahawa Noraini telah memanggil mesyuarat untuk memaksa ketua-ketua Wanita UMNO negeri memberi sokongan terhadapnya.
“Saya ingin tegaskan di sini saya selaku Setiausaha Wanita UMNO bahawa tohmahan semua ini adalah tidak benar sama sekali.
“Tiada mesyuarat ketua Wanita negeri diadakan seperti yang dikhabarkan. Jauh sekali paksaan pada ketua Wanita negeri untuk memberi sokongan pada Noraini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah portal berita hari ini kononnya Noraini telah memaksa ketua-ketua Wanita UMNO negeri untuk menyokongnya sebagai ketua mereka pada penggal akan datang.
Selain itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah mencadangkan agar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Wanita UMNO dalam pemilihan tahun ini.
Haryaty mendakwa, seramai 147 ketua Wanita UMNO bahagian menyokong cadangan itu.
Berhubung cadangan tersebut, Rosni memberitahu, angka yang disebutkan adalah tidak benar.
Beliau juga berharap agar Wanita UMNO lebih fokus kepada persiapan untuk enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal tiba dengan memperbaiki dan mempertingkatkan gerak kerja Jalinan Rakyat (JR).
“Jangan biarkan pemilihan menjejaskan gerak kerja yang telah dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette