16 individu termasuk pemandu bas ekspres cedera selepas bas dinaiki mereka terbabas dan terbalik di BORR, Butterworth awal pagi tadi.

BUTTERWORTH – Seramai 16 orang termasuk pemandu bas nyaris maut selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabas dan terbalik di kilometer 5.5 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala ke Bagan Ajam, di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba da Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.19 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dan 16 mangsa masing-masing enam lelaki dan 10 wanita berada dalam kenderaan itu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua mangsa hanya mengalami kenderaan ringan.

“Susulan itu, anggota di lokasi kejadian melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan mengeluarkan 16 mangsa di dalam bas tersebut.

“Kejadian itu tidak melibatkan mangsa yang tersepit dan mereka hanya mengalami kecederaan ringan.

Siasatan lanjut diserahkan kepada pihak polis.

“Kesemua mangsa telah diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, kes telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 5.29 pagi. – MalaysiaGazette