Menteri Komunikasi Digital merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Rumah Terbuka Baru Cina Parlimen Lembah Pantai di Lorong Ara Kiri 1, Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diarah segera meneliti dan menyelesaikan mutu perkhidmatan syarikat telekomunikasi menjelang hujung suku kedua tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, ia antara perkara yang sering dibangkitkan dan menjadi rungutan orang ramai memandangkan mereka sukar mendapat akses internet di sesuatu kawasan.

“Ini penting sebab sekarang ini bila kita bayar terutama bab bil kalau lewat akan potong tapi bila mutu perkhidmatan itu tidak menepati kemahuan kita ataupun tahap yang boleh kita terima tidak pula ada apa-apa kesan.

“Ada juga isu in-building coverage (liputan dalam bangunan) kerana beberapa peralatan perlu pasang dalam bangunan (untuk mendapat rangkaian) tetapi apabila berada di luar, pengguna dapat akses tetapi masuk dalam bangunan coverage itu jatuh dari 5 bar mungkin 1 atau 2 bar.

“Maka, saya sudah minta perlu ada kerjasama di kalangan syarikat telekomunikasi melalui MCMC, apakah kawasan yang perlu diberi keutamaan,” katanya pada pemberita selepas hadir majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini.

Menurut Fahmi, isu kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi itu merupakan antara isu yang mahu diselesaikan secara pukal bagi kepentingan pengguna.

Menteri Komunikasi Digital merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil menerima buah limau ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Baru Cina Parlimen Lembah Pantai di Lorong Ara Kiri 1, Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 FEBRUARI 2023.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menambah, KKD juga akan menyelesaikan masalah rangkaian internet terutamanya di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai Belanjawan 2023 untuk kementeriannya, Fahmi berkata, beliau ingin menyelesaikan masalah rangkaian internet di kawasan pendalaman dan orang asli.

“Ini merupakan kawasan yang daripada segi jaringan fibre (gentian) bagi kebanyakan syarikat telekomunikasi berasakan kosnya adalah tinggi dan kita sedang teliti beberapa cara termasuk penggunaan sistem internet satelit dan beberapa teknologi lain untuk menyelesaikannya.

“Ia amat penting kerana bagi saya supaya tiga peratus (kawasan berpenduduk) yang merangkumi 3,000 kawasan dengan jumlah penduduk dari 50 hingga lebih 100 orang ini dilibatkan dalam ekonomi digital. Bagaimanapun, ia terpulang pada Perdana Menteri sama ada ingin disentuh atau tidak,” ujarnya,

Dalam pada itu, berhubung isu kenaikan harga sayur sehingga 50 peratus baru -baru ini, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, beliau belum mendapat maklumat terperinci berhubung perkara itu.

Namun beliau memaklumkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berhasrat untuk mewujudkan satu sistem data raya atau big data bagi menangani isu berkenaan.

“Sistem ini merangkumi apakah stok yang ada, berapakah jumlah bentuk tanaman yang sedang ada di ladang dan apa yang ada di pasaran. Ini akan dapat membantu dari segi perancangan masa panjang dan saya percaya dalam masa terdekat, menteri berkenaan akan teliti isu ini untuk diselesaikan dengan cara terbaik,” ujarnya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. bil pengguna kena potong….lesen syarikat tele ditarik balik jika perkhidmatan out…bukan jadi sykat korprat cekik darah atau lintah darat

Comments are closed.