Suspek berusia 23 tahun ditahan polis selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Melaka awal pagi Ahad lalu.

MELAKA – Akibat cemburu melihat bekas kekasih keluar dengan teman lelaki dipercayai punca seorang penganggur  memukul beberapa individu di sebuah pusat hiburan di sini awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian pukul 3.20 pagi itu, beberapa individu termasuk bekas teman wanita penganggur yang berusia 23 tahun cedera.

Siasatan mendapati pengadu wanita itu pada mulanya didatangi bekas kekasihnya berusia 23 tahun ketika dia sedang keluar bersama teman lelaki baharunya dan empat orang rakan lelakinya.

“Suspek dikatakan mahu bercakap dengan pengadu tetapi bekas teman wanitanya itu enggan kerana suspek sedang mabuk menyebabkannya memarahi serta menolak kawan-kawan lelakinya.

“Situasi tegang itu menyebabkab berlaku pergaduhan menggunakan kerusi dan botol kaca menyebabkan pengadu terjatuh dan rakan-rakannya turut mengalami kecederaan seperti luka di badan,tangan dan hidung,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

Menurut beliau, susulan itu, suspek ditahan kira-kira pukul 7 pagi pada hari sama dan polis masih mengesan enam lagi suspek lain berusia antara 23 hingga 32 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette.