KUALA LUMPUR – Tiga masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat hajat mendoakan kesejahteraan untuk Turkiye dan Syria yang dilanda bencana gempa bumi, malam ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar berkata, solat hajat itu diadakan selepas solat Maghrib di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk tujuan mendoakan kesejahteraan buat negara Turkiye dan Syria, saya telah mengarahkan masjid seliaan Jakim mengadakan solat hajat dan memohon doa kesejahteraan selepas solat Maghrib malam ini.
“Begitu juga seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) adalah diminta melaksanakan solat hajat memohon doa kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud melanda selatan Turkiye semalam, menurut kenyataan Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) yang dikesan pada 23 kilometer timur Nurdagi, wilayah Gaziantep.
Bencana itu mengorbankan kira-kira 1,000 orang, ramai cedera dan masih hilang serta puluhan ribu kehilangan rumah serta mata pencarian.
“Rakyat Malaysia berasa dukacita dengan tragedi tragis yang menimpa bumi Turkiye dan Syria,” kata Dr. Na’im.
Sementara itu, Malaysia malam tadi menghantar 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) ke Turkiye bagi membantu misi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara itu.
Pemergian pasukan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. – MalaysiaGazette