Fuziah Salleh

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup  mengadakan berbincang dengan pemegang taruh yang terbabit dalam bidang logistik untuk mencari jalan mengurangkan kos penghantaran barangan makanan terutamanya ketika banjir.

“Jadi kalau kita dapat kurangkan kos logistik, harga barangan ini akan dapat diturunkan dan sekali gus dapat membantu mengurangkan bebanan pengguna,” jelas timbalan menterinya, Fuziah Salleh.

Menurutnya, masalah bekalan barangan keperluan asas tidak terjejas teruk ekoran banjir kilat yang melanda beberapa lokasi di negeri ini sejak kelmarin.

“Memang kejadian banjir ini akan memberi kesan kerana ada masalah sikit dengan logistik,” katanya pada sidang media hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee berkata, hujan lebat berterusan menjejaskan ladang sayuran di Johor, Pahang dan Perak sekali gus menyebabkan harga bahan mentah itu melonjak lebih 100 peratus di kawasan terjejas.

Katanya antara sayuran yang mencatatkan kenaikan harga lebih 100 peratus termasuklah tomato, timun, kacang panjang dan bendi di mana harga tomato dan bendi yang sebelum ini hanya RM4 sekilogram (kg) kini melonjak kepada lebih RM10 per kg.

Begitu juga timun dan kacang panjang yang sebelum ini hanya RM4.50 kg namun terdapat kawasan bekalan terjejas menyebabkan harganya melonjak lebih RM10.

Dalam pada itu, Fuziah menegaskan, kementeriannya hanya akan mengambil tindakan apabila kenaikan harga sayur menyalahi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Menurut beliau, kenaikan melonjak harga sayur di pasaran ketika ini perlu dipantau Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFS).

“Jadi kalau luar biasa dia punya kenaikan harga itu, pengguna boleh tengok menu, harga dekat menu itu. Kalau mahal sangat, pengguna boleh buat aduan dan penguat kuasa kita akan buat siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette